Jumaat, 13 Ogos 2010

RM37.14 juta duit raya

Tahniah kepada warga Felda kerana mendapat duit raya untuk tahun 2010. Tahun lepas juga warga felda mendapat duit raya dalam jumlah yang sama. Setiap warga yang bersama felda mendapat RM350 dan yang meninggalkan felda mendapat RM 150 sahaja.


Najib umum pemberian RM150, RM350 seorang sambut 1 Syawal

KUALA LUMPUR: Seramai 112,635 peneroka FELDA di 317 tanah rancangan di seluruh negara akan menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria tahun ini berikutan keputusan kerajaan memberikan mereka duit raya berjumlah RM37.14 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pemberian wang raya itu antara RM150 dan RM350 seorang kepada semua peneroka yang akan diberikan sebelum perayaan Hari Raya bulan depan.
Beliau berkata, kadar bayaran duit raya itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama FELDA dan bukan bersama FELDA.

“Bagi peneroka bersama FELDA, mereka akan menerima RM350 seorang manakala peneroka yang tidak bersama FELDA, akan menerima duit raya RM150 seorang.

“Mengikut rekod, peneroka yang masih setia bersama FELDA adalah seramai 101,391 orang (90.02 peratus) manakala seramai 11,244 atau 9.98 peratus peneroka, dikategorikan sebagai tidak bersama FELDA iaitu mereka yang tidak menanam semula menerusi agensi itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Pemberian duit raya itu membabitkan bayaran berjumlah RM37.14 juta dengan RM35.47 juta diberi kepada peneroka yang bersama FELDA dan RM1.67 juta bagi yang tidak bersama FELDA.
“Saya berharap pemberian duit raya ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Syawal.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada peneroka yang tidak bersama FELDA agar kembali bersama agensi ini untuk memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan,” katanya.

KUALA LUMPUR 3 Sept 2009. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian wang raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihak Felda memperuntukkan sebanyak RM37.23 juta dan mereka dijadualkan menerima wang tersebut mulai minggu depan.Menurutnya, terdapat dua kategori wang raya yang akan diberikan kepada peneroka iaitu RM350 seorang dan RM150 seorang.

‘‘Seramai 101,672 peneroka atau 90.27 peratus yang masih bersama Felda akan menerima RM350 seorang dan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM35.59 juta.

‘‘Seramai 10,963 atau 9.73 peratus peneroka yang tidak lagi bersama Felda akan menerima RM150 seorang. Jumlah ini pula melibatkan peruntukan sebanyak RM1.64 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Perdana Menteri berkata, amalan pemberian wang raya oleh Felda kepada peneroka itu telah dilaksanakan sejak tahun 2003.

Mengenai perbezaan jumlah yang diberikan kepada para peneroka, beliau berkata, ia adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka yang masih bersama dengan Felda.

‘‘Perbezaan kadar bayaran ini adalah sebagai menghargai sumbangan yang lebih diberikan oleh peneroka yang menyertai program bersama Felda,’’ katanya.
Dalam pada itu, Najib amat berharap pemberian wang raya tersebut dapat meringankan beban kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menyambut hari lebaran.

‘‘Saya juga ingin mengambil kesempatan merayu agar peneroka yang tidak bersama Felda supaya kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah-tanah rancangan kita,” ujarnya.-utusan