IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan usul perbelanjaan tambahan sebanyak RM80 juta pada mesyuarat kedua penggal ketiga yang berlangsung di sini.
Usul yang dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, itu diluluskan dengan undi semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Bebas.
Terdahulu, semua 27 Adun pembangkang bertindak keluar Dewan apabila Speaker, Datuk R Ganesan, menggantung Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) kerana mengganggu perbahasan serta mengingkari perintah Speaker.
Semasa membentangkan usul berkenaan, Dr Zambry berkata sejumlah RM30 juta akan dibelanjakan bagi program kesejahteraan rakyat dan menangani masalah kemiskinan, pembangunan infrastruktur serta program peningkatan sosioekonomi penduduk bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, sebanyak RM50 juta pula akan digunakan bagi melaksanakan aktiviti pelaburan secara lebih berkesan dan berupaya memberi pulangan yang signifikan.
"Wang tersebut akan dilaburkan secara berhemat dalam pelaburan terpilih yang akan diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.
"Adalah dijangkakan pelaburan tersebut akan menghasilkan pulangan lebih tinggi berbanding simpanan tetap yang secara purata pada 2.5 hingga 3 peratus pada masa ini," katanya.
Beliau berkatta, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan hasil negeri selepas bajet 2010 diramalkan defisit sebanyak RM23.89 juta.
"Usaha bersungguh-sungguh dan bersepadu oleh semua pihak terbabit telah menyaksikan hasil negeri meningkatkan dengan ketara, berbanding unjuran bajet 2010 dan setakat Julai tahun ini, kerajaan negeri memperoleh pertambahan sebanyak RM117.26 juta daripada bayaran premium tanah serta lain-lain.
"Oleh kerana kerajaaan negeri kini memperoleh hasil yang bertambah sebanyak RM117.26 juta, maka wajar direncanakan penggunaan wang tersebut secara pembangunan bagi merangsang pertumbuhan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga akan mengkhususkan sebanyak RM23.89 juta bagi menghapuskan defisit yang diramal.
Pada sidang akhbar selepas itu, beliau menjelaskan bajet tambahan yang diluluskan itu dibuat tanpa menyentuh wang rizab kerajaan negeri.
Katanya, pertambahan hasil sebanyak RM117.26 juta itu adalah pendapatan luar biasa daripada hasil yang tidak dijangkakan.
"Kita ada duit berlebihan dan Bajet 2011 akan dibuat beberapa bulan lagi, jadi apa kita nak buat dengan duit pendapatan luar biasa ini...ia tidak dijangka dalam bajet 2010 yang lalu, tetapi kita telah berjaya mendapat hasil tambahan sebanyak RM117.26 juta," katanya.
Dr Zambry berkata, mengikut asas perakaunan, lebihan itu digunakan untuk mengimbangi defisit RM23 juta dalam Bajet 2010 manakala bakinya bagi meningkatkan ekonomi.
Mengenai tindakan ADUN pembangkang keluar Dewan, beliau berkata ia perbuatan biadap dan tidak menghormati Speaker.
Terdahulu, semasa perbahasan, Datuk Hamdi Abu Bakar (BN-Pengkalan Baru-foto) berkata pembangkang memutarbelitkan fakta apabila mendakwa bajet tambahan itu akan menyebabkan defisit lebih besar.
"Mereka (pembangkang) perlu didikan dengan maklumat yang tepat...oleh kerana kerajaan negeri mempunyai kemampuan, iaitu pendapatan tambahan, dan keperluan, iaitu untuk perbelanjaan sasaran kepada rakyat, ia adalah usaha demi kebajikan rakyat," katanya.
Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim-foto) pula berkata langkah menggunakan pendapatan tambahan itu pada tahun ini juga adalah langkah terbaik kerana masih banyak kawasan luar bandar, terutama perkampungan tradisi dan Orang Asli, yang tidak dilengkapi bekalan air serta elektrik.
Beliau juga berkata, tindakan keluar Dewan oleh pembangkang yang memboikot persidangan itu adalah pengkhianatan kepada rakyat kerana ia adalah tempat paling sesuai membincangkan masalah mereka.
Sidang DUN Perak kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Sumber: Bernama