by Norizan Sharif on Wednesday, August 18, 2010 at 9:06am
Astro Awani melalui rancangan Suara Generasi dan Agenda Awani telah beberapa kali membincangkan mengenai Tabarru' Asia. Begitu juga, akhbar Sinar Harian menyiarkan tulisan satu muka penuh mengenai Tabarru' Asia. Ia telah menarik minat pelbagai pihak yang ingin turut menyumbang kepada pembangunan komuniti Islam melalui pendidikan melalui Tabarru' Asia. Untuk mengetahui bagaimanakah anda boleh telibat dalam projek ini, ikuti wawancara dengan Sdr Norizan Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif, INMIND dan Presiden, Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (Komuniti Malaysia).
Bolehkah saudara jelaskan apakah Tabarru' Asia?
Tabarru' ialah perkataan Arab yang bermaksud memberi sesuatu dengan ikhlas (derma) oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Islam menggalakkan tabarru’ dengan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Tabarru' Asia ialah satu projek yang diadakan bagi membolehkan umat Islam di negara-negara Asia menyumbang kepada pembangunan komuniti Islam di negara-negara jiran. Umat Islam yang mampu membantu komuniti lain yang ketinggalan.
Adakah tumpuan hanya bantuan kewangan?
Tidak. Tabarru' Asia ialah satu projek pembangunan komuniti yang komprehensif. Selalunya, apabila kita bercakap mengenai bantuan, kita membantu hanya apabila ada tragedi atau bencana. Sebagai contoh, apabila berlaku tsunami tidak lama dulu, kita bersama-sama membantu umat Islam di Acheh. Alhamdulillah, itu bagus. Bagaimanapun kita ingin mengajak masyarakat untuk melihat bantuan yang bersifat jangka panjang dan berbentuk pembangunan komuniti agar umat Islam yang ketinggalan dapat membangun bersama arus masyarakat.
Bantuan ini boleh bersifat kewangan seperti yang sedang kita usahakan bagi membantu pendidikan di Kemboja. Selain itu ialah juga boleh berbentuk kempen kesedaran atau penghantaran sukarelawan komuniti. Apa saja bentuk pembangunan komuniti, Tabarru' Asia akan melakukannya.
Mengapakah Kemboja?
Soalan yang bagus. Sesuai dengan nama Tabarru' Asia, kita mensasarkan Tabarru' Asia untuk terlibat dalam pembangunan komuniti di negara-negara Asia yang memerlukan. Di India, Bangladesh, Burma, Filipina, Indonesia, Thailand .. masih ada umat Islam yang ketinggalan dan memerlukan bantuan pembangunan komuniti. Kita memilih Kemboja sebagai tempat pertama disebabkan kerana masyarakat setempat yang supportive kepada insiatif ini; di samping keperluan masyarakat Islam di sana. Selepas ini kita akan pergi ke negara-negara Islam yang lain, insya-Allah.
Secara khusus, apakah tumpuan Tabarru' Asia di Kemboja?
Untuk Kemboja, tumpuan kita ialah bidang pendidikan. Apabila kita berbincang dengan Mufti Kemboja Tuan Haji Kamaruddin Yusof di rumahnya baru-baru ini, beliau memberitahu fokusnya ialah membangunkan pemimpin tempatan yang boleh memimpin komuniti. Di Kemboja ada masjid, kita perlukan imam dan guru agama.
Alhamdulillah, masyarakat Islam di Kemboja terima banyak sumbangan al-Quran, jadi mereka perlukan guru-guru untuk mengajar al-Quran kepada umat Islam setempat. Di kampung-kampung Kemboja, kita perlukan umat Islam yang boleh menjadi ketua kampung yang baik. Sebahagian ketua kampung sekarang tidak boleh membaca dan menulis. Kalau begitu, bagaimanakah mereka hendak memimpin masyarakat?
Kata Tuan Haji Kamaruddin, kita boleh melahirkan pemimpin dengan mendidik generasi sekarang dan menentukan mereka mempunyai pendidikan. Apabila mereka ada pendidikan, mereka boleh pulang semula kepada komuniti dan memanfaatkan ilmu untuk membangunkan komuniti. Atas sebab itulah maka kita akan menjadikan pendidikan sebagai bidang tumpuan.
Apakah yang akan dilakukan oleh Tabarru' Asia dalam bidang pendidikan di Kemboja?
Sekali lagi, Mufti Kemboja Tuan Haji Kamaruddin memberikan kita panduan. Kita akan fokus kepada sekolah yang berada di bawah kendalian Mufti. Sekolah ini ialah sekolah integrasi -- ada kelas akademik, dan ada kelas agama; ada sekolah rendah dan ada sekolah menengah. Di sekolah ini ada sekitar 500 orang pelajar dengan 20 orang guru.
Gaji guru-guru ini adalah tidak tetap; bergantung kepada sumbangan orang kampung. Mereka tidak mendapat peruntukan kerajaan. Ada masa-masa tertentu, gaji guru-guru ini tidak dapat dibayar dan mereka hanya dibayar sewaktu sesi persekolah; sewaktu cuti tiada gaji. Untuk menambah pendapatan, guru-guru ini terpaksa bertani dan melakukan pekerjaan lain. Akhirnya, mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada pendidikan. Sesetengahnya berhenti menjadi guru dan bekerja di tempat lain yang lebih menjamin pendapatan.
Apa yang berlaku menyebabkan pelajaran terjejas, sedangkan sebahagian guru-guru ini adalah mereka yang berkelayakan. Ada yang ada ijazah dari al-Azhar atau universiti-universiti lain yang bagus. Atas nasihat Mufti Kemboja, kita akan tumpukan kepada usaha membayar gaji guru-guru ini supaya mereka boleh memberikan fokus kepada pengajaran dan mendidik umat Islam Kemboja.
Kita telah melawat sekolah ini, menziarahi Tuan Haji Kamaruddin di pejabat Mufti dan di rumahnya; dan kita yakin bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sesuatu yang akan memberikan manfaat kepada umat Islam di sana.
Sasaran Tabarru' Asia?
Tumpuan kita sekarang ialah untuk membiayai gaji kesemua guru-guru ini selama satu tahun atau 12 bulan. Gaji seorang ialah sekitar RM750 sebulan. Sasaran kita ialah untuk mendapatkan sumbangan sebanyak RM750/bulan x 20 orang guru x 12 bulan; iaitu RM180,000 setahun. Sekiranya kita dapat berikhtiar mencari RM180,000 dari sekarang sehingga akhir Disember tahun ini, kita akan dapat membayar gaji 20 orang guru-guru ini sepanjang tahun depan (2011).
Selepas kita mencapai sasaran ini, kita akan pergi kepada membantu pelajar dan infrastruktur sekolah. Itu fasa kedua; tumpuan kita sekarang ialah mendapatkan gaji guru.
Bagaimanakah sumbangan ini akan disalurkan?
Kita akan menyalurkan kesemua sumbangan ini melalui Mufti Kemboja, Tuan Haji Kamaruddin. Kita sudah berbincang dengan beliau dan sekiranya kita dapat mengumpulkan RM180,000 ini, kita akan mengundang beliau ke Malaysia untuk menerima sumbangan ini dan wakil kita di Kemboja akan membantu Mufti Kemboja mengagihkan bayaran gaji seperti yang kita persetujui. Dalam konteks Kemboja, saya fikir ini adalah cara yang terbaik, telus dan sampai kepada sasarannya.
Siapakah penganjur Tabarru' Asia?
Pelbagai pihak bekerjasama menjayakan Tabarru' Asia. Dari segi penajaan, ia dilakukan bersama oleh Institut Perkembangan Minda (INMIND) dan Komuniti Malaysia. INMIND sudah ditubuhkan selama 15 tahun dan kita mempunyai rekod perkhidmatan kepada komuniti terutama sekali dalam bidang keilmuan. Sementara Komuniti Malaysia pula ialah organisasi NGO yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
Dari segi agihan, kita bekerjasama dengan Mufti Kemboja Tuan Haji Kamaruddin YUsof yang mengetuai Cambodian Islamic Center (pejabat Mufti). Setakat ini dua buah organisasi media iaitu Astro Awani dan Sinar Harian membantu usaha ini dan kami berterima kasih kepada mereka atas sokongan yang berterusan ini. Saya yakin dengan gandingan kesemua pihak ini, matlamat kita membangunkan komuniti melalui pendidikan di Kemboja akan dapat dicapai.
Bagaimanakah hendak menyumbang?
Kita mensasarkan untuk mengutip sumbangan sebanyak RM180,000 sehingga Disember 2010, bagi membayar gaji 20 orang guru.
Sekiranya ada mana-mana organisasi korporat atau individu yang mampu, mereka bolehlah menyumbang untuk gaji seorang guru selama setahun (12 bulan) dengan membuat sumbangan sekaligus sebanyak RM9,000 (RM750/sebulan x 12 bulan).
Atau, seseorang boleh membuat sumbangan sebanyak RM750 untuk gaji seorang guru sebulan.
Bagi individu yang ingin membuat sumbangan yang lebih kecil, kita cadangkan sumbangan sama ada sebanyak RM100, RM200, RM300 atau seberapa banyak yang mampu. Sumbangan ini akan kita kumpulkan bersama sumbangan individu-individu lain dan akan kita gabungkan bagi membayar gaji guru-guru tersebut.
Masukkan sumbangan itu kepada akaun Bank Muamalat bernombor akaun 1211 0000 2747 17 (atas nama "Tabarru Asia".)
Sumbangan ini boleh dibank-in di Bank Muamalat atau pun melalui online transfer menggunakan akaun bank anda sedia ada (seperti Maybank2u.com) kepada nombor akaun di atas.
Setelah anda memasukkan sumbangan ke dalam akaun Tabarru' Asia, sila email maklumat transaksi (seperti jumlah, tarikh, masa dan nombor rujukan - sekiranya ada) kepada tabarruasia@yahoo.com supaya kita boleh membuat rekod yang betul. Sekiranya anda memerlukan resit, sila nyatakan dan kita akan uruskan (resit akan hanya dikeluarkan atas permintaan).
Satu lagi, sempena bulan Ramadan ini pelbagai syarikat dan organisasi membuat majlis berbuka puasa. Sementara ada yang membuat sumbangan kepada rumah anak-anak yatim dan fakir miskin di negara ini, saya amat berbesar hati sekiranya mereka juga dapat memberikan sedikit sumbangan kepada projek Tabarru' Asia di Kemboja. Sekiranya ada yang ingin berbuat demikian, sila jemput dan kami akan menghantar wakil untuk menerima sumbangan di majlis berkenaan.
Bagaimanakah untuk mengikuti perkembangan Tabarru' Asia?
Kita akan melaksanakan kutipan ini dengan cara yang telus. Insya-Allah jumlah kutipan akan kita umumkan melalui media sosial seperti website, Facebook dan Twitter. Sila sertai Tabarru' Asia di media sosial berikut:
Website : http://www.tabarruasia.com/
Facebook : http://www.facebook.com/#!/profile.php?id=100001430546292&ref=ts
Facebook group : http://www.facebook.com/group.php?gid=104414719613915
(sekiranya anda mempunyai masalah, sila cari "Tabarru' Asia" di Facebook)
Twitter : http://www.twitter.com/tabarruasia
Youtube : http://www.youtube.com/tabarruasia
(sebahagian sosial media ini masih lagi dalam proses pembinaan, mohon maaf atas kekurangan)
Harapan saudara?
Saya mengharapkan umat Islam di Malaysia melihat usaha ini sebagai tanggungjawab kita bersama. Dan, saya juga mengalu-alukan saranan bagaimana kita boleh memantapkan lagi projek Tabarru' Asia. Untuk projek pertama ini, kita memberikan tumpuan kepada kutipan kewangan bagi membayar gaji guru. Insya-Allah, pada masa depan di negara lain, tumpuan kita mungkin kepada bidang-bidang yang lain pula, termasuklah penghantaran sukarelawan komuniti.
NOTA : Sila tag nama ada di nota ini supaya ia kelihatan di wall anda; ini adalah salah satu cara bagaimana anda boleh membantu mempromosi dan menjayakan projek ini. Saya tidak membuat tag kepada nama sahabat-sahabat bagi menggelakkan ia mengganggu privasi anda; sekiranya anda sudi, silalah tag nama anda dan membantu Tabarru' Asia.