SELEPAS Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe membangkitkan secara terbuka isu status orang Melayu yang disamakan dengan istilah pendatang seperti mana orang Cina dan India ke alam Melayu, kemudian Naib Presiden MCA, Low Tiong Lai pula membangkitkan isu 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dan terkini ialah Chua Soi Lek ingin memansuhkan pegangan ekuiti bumiputera secara beransur-ansur.
Sebelum ini perkara yang sama dibangkitkan oleh Gerakan dan DAP yang diterjemahkan melalui kajian oleh Lim Teck Ghee, bekas Pengarah, Pusat Kajian Dasar-Dasar Awam, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) berhubung pemilikan ekuiti bumiputera yang dikatakan mencapai sebanyak 45 peratus.
Kenyataan seperti ini mengundang pelbagai kontroversi. UMNO dan beberapa NGO Melayu menyifatkan pernyataan tersebut sebagai amat keterlaluan dan tidak mencerminkan semangat setiakawan. Kenapa perlu isu-isu sebegini dibincangkan secara terbuka? Tidakkah ada saluran dalaman untuk membincangkan masalah ini?
Parti Gerakan mempertikaikan kajian yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU). Gerakan mahukan kerajaan mengeluarkan pendekatan atau metodologi yang digunakan dalam mendapatkan angka 18.9 peratus pemilikan ekuiti bumiputera oleh EPU.
Mereka juga menggesa EPU menjelaskan metodologi dan mengemukakan angka pencapaian ekonomi orang Melayu sejak 36 tahun. Kata Gerakan lagi, dasar ekonomi, persepsi, ekuiti dalam bursa saham orang Melayu mesti didedahkan secara telus untuk mengelakkan salah tanggapan orang Cina terhadap orang Melayu yang mana ia sama sekali tidak baik untuk negara ini.
Bagi Ketua Pemuda DAP Pusat, Nga Kor Ming (Al-Islam, Jun 2006), DEB bukan sekadar mendiskriminasi kaum bukan Melayu, malahan orang Melayu tidak terkecuali. DEB menurut beliau hanya menguntungkan segelintir orang Melayu. Ramai Melayu yang sepatutnya diberikan bantuan menerusi DEB tidak diberi perhatian, sebaliknya yang dibantu pula tidak menggunakan sepenuhnya bantuan yang diberi. Mereka mengkhianati dan menipu kerajaan.
Hujah beliau lagi, bantuan yang diberikan tidak digunakan untuk memajukan diri, tetapi mengambil jalan pintas dengan menjual kontrak atau tender yang diperolehi kepada orang lain. Dasar sebegini katanya perlu diubah. Melanjutkan tempoh DEB ternyata tidak menguntungkan orang Melayu sebaliknya menguntungkan segelintir pihak yang rapat dengan pihak berkuasa. Kekayaan atau pegangan mengikut kaum sebenarnya akan terbuka kepada penyelewengan dan penyalahgunaan
Jika diteliti secara mendalam, ternyata pandangan Gerakan, MCA dan DAP tidak banyak bezanya. Begitu juga dengan pertubuhan- pertubuhan Cina lain seperti SEDAR, INSAP, Dong Jiao Zong dan lain-lain lagi pertubuhan Cina atau lebih dikenali sebagai Huatuan.
Pendek kata, majoriti Huatuan senada dalam melihat hak-hak istimewa Melayu dan DEB. Pandangan mereka tergolong dalam kumpulan ultra kiasu, yakni melihat DEB dan pemilikan ekuiti Melayu dari sudut negatif.
Tidak ramai yang mengikuti jejak Tan Teong Jin, Ho Wah Foon, Tan Joo Lan (2005) yang melihat hak-hak istimewa dan DEB dari sudut yang positif. Kajian mereka mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan penyelidik-penyelidik Cina yang lain.
Tulisan mereka agak lembut, objektif, berpijak di bumi nyata serta memahami realiti dan sejarah. Bagi mereka, sebenarnya dasar DEB banyak mendorong masyarakat Cina terutama para usahawannya untuk gigih berdikari seterusnya menjadi lebih cemerlang dalam sektor korporat. Mereka merumuskan bahawa kemakmuran hidup dan masa depan masyarakat Cina bergantung kepada dinamika politik dan status ekonomi Melayu.
Dengan berkembangnya ekonomi orang Melayu, mereka turut dapat merasai nikmatnya. Perniagaan mereka turut berkembang kerana saling bergantungan antara satu sama lain dari segi penawaran dan permintaan.
Hari ini, agak malang setelah lebih 50 tahun merdeka, kita sebenarnya gagal untuk melahirkan penyelidik seperti Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan sebagainya. Apatah lagi untuk melahirkan orang-orang seperti Tun Tan Siew Sin, bekas Presiden MCA dan Tun Sambanthan, bekas Presiden MIC.
Sebelum pergi lebih jauh, cuba kita renungi kata-kata Siew Sin pada 30 April 1969 yang dipetik dalam buku Khalid Awang Osman yang berbunyi, "Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat- syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain".
Pilihan raya
Sebelum itu, Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: "Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?
"Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?
"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara". Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''
Persoalannya, berapa ramai orang bukan Melayu seperti Siew Sin dan Sambanthan yang berjaya kita lahirkan? Rata-rata yang ada, adalah mereka yang terdiri daripada kumpulan ultra kiasu, mahukan keadilan melalui konsep sama rata dan sama rasa.
Keadilan tidak lagi dilihat menurut definisi yang betul yakni meletak sesuatu pada tempatnya. Tetapi apabila keadilan dilihat semata-mata dari sudut konsep sama rasa, sama rata yakni jika orang Melayu dapat sebiji, maka bukan Melayu juga perlu diberi sebiji.
Jika dua biji diberikan kepada orang Melayu, satu biji kepada bukan Melayu, maka itu tidak adil, tanpa mahu menyelidiki atau sengaja buat-buat tidak faham kenapa keadaan sebegini wujud. Ini politik kurang matang yang menyelubungi politik Malaysia sekian lama. Justeru, tidak hairan jika wujud ketegangan dan tuntut-menuntut yang tidak pernah habis.
Isu-isu sensitif sebegini seolah-olah sengaja dibangkitkan oleh parti-parti Cina, apatah lagi ketika UMNO berada dalam kedudukan yang agak lemah selepas pilihan raya umum 2008.
Pengkaji bersependapat dengan Jayum (2007: 27-28) mengenai perlunya pengagihan ekonomi melalui DEB sepatutnya dilihat dari segi pemilikan ekuiti bumiputera berasaskan nisbah kependudukan.
Isu sebenar katanya bukanlah soal peningkatan sehingga 20 peratus sahaja atau kenapa 30 peratus tidak tercapai pada tahun 1990 atau 45 peratus telah dicapai menjelang pertengahan abad ke-19 sebagaimana yang didakwa oleh penyelidik- penyelidik bukan Melayu. Paras sebenar dan terakhir yang perlu dikejar selaras dengan agihan mengikut nisbah pendudukan ialah lebih kurang 65 peratus.
Persoalannya, apakah pendapat Jayum (2007) berkaitan agihan ekuiti mengikut nisbah kependudukan orang Melayu (bumiputera) sebanyak 65 peratus ini diterima bukan Melayu yang selama ini mahukan DEB itu dimansuhkan setelah tamat tempohnya? Jawapannya, sudah tentu tidak, kerana bukan Melayu mahukan keadilan berasaskan kesamaan dan kesamarataan. Orang bukan Melayu tidak mahu mengaku bahawa mereka lebih bernasib baik, jika dilihat daripada struktur strata hidup, berbanding dengan orang Melayu yang masih ketinggalan walaupun berada di tanah air sendiri.
Menurut Imran Imtiaz dalam tulisan bertajuk The Future of the Malaysian Chinese, walaupun ada 'diskriminasi' di Malaysia, orang Cina masih bernasib baik kerana mereka berjaya terus mendominasi ekonomi negara dengan pendapatan per kapita yang tinggi berbanding orang Melayu.
Dalam kata lain, orang Cina bukanlah warga negara kelas dua memandangkan mereka menikmati taraf kualiti hidup lebih baik.
Perlu diakui juga, tidak semua orang Cina yang berjaya sepenuhnya, ada di kalangan yang masih miskin dan memerlukan bantuan. Begitu juga dengan orang Melayu, tidak semua mendapat habuan DEB.
Justeru sudah sampai masanya semua perkara ini diteliti semula. Jangan sampai yang kaya bertambah kaya, manakala yang miskin terus menjadi miskin. Perkara yang sama pernah dinyatakan oleh Tun Dr. Ismail, satu-satunya pemimpin yang berani berdiri menentang arus pelampau dan prasangka yang melanda. Meskipun Dr. Ismail menyetujui konsep hak istimewa Melayu, tetapi dia tidak segan menghebahkan bahawa hak istimewa hanya buat sementara, bukan hak yang hakiki untuk menindas hak orang lain.
Mengambil kira pandangan Dr. Ismail, bukan Melayu perlu melihat DEB dalam konteks yang positif. Seperti yang pernah dikatakan oleh Shamsul Amri, apabila MCA membangkitkan soal tender, reaksi orang Melayu adalah mereka akan kehilangan peluang (hak).
Inilah bentuk persepsi yang akan wujud jika kita melihat dari sudut zero sum game. Namun, jika dilihat dari sudut situasi 'menang- menang' sudah tentu persepsinya agak berlainan. Katakanlah satu kontrak untuk membina bangunan bernilai RM10 juta. Kita tahu kemungkinan orang Melayu untuk membinanya bukan mudah. Mungkin hak tender yang bernilai RM2 juta dapat kepada orang Melayu tetapi RM8 juta lagi jatuh kepada orang Cina. Persoalannya, kenapa yang difokuskan ialah RM2 juta sahaja, yang RM8 juta projek kepada kaum lain kita tidak bincang? Kenapa mereka asyik menuntut?.
Pendek kata, sifat zero sum game atau ultra kiasu sudah tertanam lama dalam pemikiran kita selama ini. Persoalannya, sampai bilakah mereka mahu sedar atau sengaja tidak mahu sedar? Orang Cina memang sedar bahawa UMNO akan meneliti apa yang dituntut, disebabkan UMNO amat bergantung kepada undi Cina untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, daripada jatuh kepada parti lain. Akibatnya, UMNO terpaksa akur dengan beberapa tuntutan yang dikemukakan.
Strategi politik Cina adalah mereka tahu bahawa jika UMNO tidak memberikan kesemua apa yang dituntut, sekurang-kurang UMNO akan memenuhi beberapa tuntutan mereka atau sebahagian daripadanya. Justeru, tuntutan paling ekstrem perlu dikemukakan.
Beberapa tuntutan atau sebahagian yang diberikan UMNO, sebenarnya itulah kemenangan terbesar kepada orang Cina. Misalnya, tuntutan orang Cina terhadap jawatan-jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan awam seperti jawatan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor IPTA.
Hari ini, kita sudah dapat lihat ada IPTA yang telah melantik bukan Melayu menjadi Timbalan Naib Canselor, begitu juga sektor perkhidmatan awam. UMNO yang menerajui BN telah menampakkan perubahan dan mula memberikan tuntutan-tuntutan Cina ini.
Didominasi
Persoalannya, sejauh manakah IPTS- IPTS atau syarikat swasta yang didominasi oleh orang Cina seperti UTAR, Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan lain-lain bersedia untuk menerima dan melantik Naib Canselor mereka daripada kalangan orang Melayu jika tuntutan ini dikemukakan suatu hari nanti?
Pengalaman menunjukkan bahawa orang Cina menentang sebarang percubaan untuk orang Melayu memasuki institusi mereka. Contohnya, kemasukan guru besar Melayu ke sekolah Cina.
Contoh lain adalah rancangan kerajaan untuk mengajar bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan. Ia mendapat tentangan daripada masyarakat Cina yang diwakili oleh Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Pertubuhan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) atau singkatannya Dong Jiao Zong (Utusan Malaysia, 27 April 2005). Dong Jiao Zong bersangka buruk dengan beranggapan bahawa ia bertujuan menghapuskan SJKC selepas ini. Rancangan ini menurut mereka tidak akan berjaya menarik orang Cina ke sekolah kebangsaan.
Sedangkan semua sedia maklum bahawa hanya di Malaysia, SJKC masih kekal dengan identitinya berbanding negara lain yang mana orang Cina menjadi minoriti. Negara seperti Singapura yang majoriti kaum Cina sekalipun, tidak lagi mempraktikkan bentuk sekolah Cina seperti yang ada di Malaysia (Lee Kam Heng dan Tan Chee Beng, 2000: 228).
Contoh lain yang tidak keterlaluan untuk ditonjolkan ialah Thailand. Pada tahun 1940-an, kerajaan Thailand bertindak menutup atau mengharamkan operasi semua sekolah Cina kerana bimbang akan menyukarkan proses integrasi dan asimilasi kaum. Mereka beranggapan, sekolah Cina hanya akan melahirkan nasionalisme Cina yang membahayakan sesebuah negara.
Justeru kerajaan Thailand telah bertindak mengasimilasikan semua orang Cina dan menghapuskan agen utama sosialisasi politik ini kepada satu sistem pendidikan Thai (Siam). Hasilnya, proses sosialisasi politik bertunjang kepada pendidikan Thai (Siam), telah berjaya melahirkan orang Cina yang mempunyai semangat nasionalisme Thai (Siam) begitu tinggi.
Ini diakui sendiri oleh ahli perniagaan atau penulis chauvanis Cina bernama Ye Lin- Sheng (2003: 129) dalam bukunya The Chinese Dilemma. Beliau terpaksa akur betapa beruntungnya menjadi orang Cina di Malaysia yang masih dapat mempertahankan semangat dan identiti kecinaannya.
Justeru, apa yang pernah disarankan oleh Tun Abdul Razak perlu dijadikan kenyataan. Beliau mengatakan integrasi merupakan suatu cara penyelesaian yang sesuai dalam menyelesaikan kemelut politik di Malaysia. Dasar kerajaan mengenai perpaduan kebangsaan bukanlah merupakan proses asimilasi tetapi dengan cara integrasi iaitu dengan membuat penyesuaian terhadap pelbagai budaya dan sosial yang dapat diterima oleh semua kaum di negara ini dengan berpaksikan kepada kaum asal (Comber, 2007).
Perlu diingatkan, asimilasi seperti Cina di Thailand dan Indonesia, tidak mungkin lagi berlaku kerana politik perkauman telah tertanam sekian lama. Ada yang memberikan alasan Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan Thailand dan Indonesia disebabkan minoriti Cina di kedua-dua negara ini amat kecil berbanding Malaysia sebanyak 25 peratus.
Namun sejauh manakah langkah - langkah telah diambil untuk menyelesaikan masalah sedia ada? Semua dasar, kontrak sosial dan ramuan integrasi telah termaktub dalam perlembagaan, seperti isu bahasa Melayu, agama, hak-hak istimewa dan sebagainya. Cuma, yang ditunggu hari ini adalah pelaksanaannya secara telus dan jujur tanpa dipolitikkan.
Apakah kita harus terus melayan tuntutan-tuntutan seperti yang dinukilkan oleh Kim Quek (2004), yang menurutnya, penentangan orang Cina tidak dapat lari daripada perkara-perkara seperti, pertama; diskriminasi kaum dalam pelantikan dan kenaikan pangkat pekerja-pekerja di badan-badan kerajaan, menjadikan badan-badan ini hampir dikuasai satu bangsa sahaja (lebih-lebih lagi di lapisan tertinggi). Badan-badan ini termasuklah: perkhidmatan awam, polis, tentera dan pelbagai agensi semi dan separa-kerajaan.
Kedua; menghalang kaum bukan Melayu daripada tender dan kontrak yang dikawal secara langsung atau tidak langsung oleh kerajaan. Ketiga; mengenakan diskaun harga wajib dan kuota memihak kepada orang Melayu di dalam projek-projek perumahan.
Keempat; mengenakan kuota saham wajib bagi orang Melayu di syarikat bukan Melayu. Kelima; larangan menyeluruh terhadap pelajar bukan Melayu bagi memasuki institusi akademik awam (contoh UiTM) dan keenam; peruntukan biasiswa dan tempat belajar yang jelas berat sebelah dengan kadar yang sememangnya tidak munasabah yang menampakkan diskriminasi kaum (Mohd Ridhuan Tee, 2006).
Kesimpulannya, adakah semua tuntutan yang dikemukakan selaras dengan konsep keadilan yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya dan semangat perlembagaan? Sedangkan semua kita tahu bahawa kesemua tuntutan tersebut telah pun dibuka sedikit demi sedikit. Apa yang jelas, adalah sikap ultra kiasu yang sebenar. Sentiasa mahu menang tanpa memikirkan yang kalah itu sebenarnya akan menimbulkan masalah kepada yang menang. Apakah kita harus terus meletakkan kepentingan etnik di hadapan berbanding kepentingan nasional? Jika inilah bentuk budaya politik yang wujud, sebenarnya kita sedang bermain dengan api. Walaupun api itu masih lagi tidak kelihatan atau membara, tetapi bara itu tetap menyala. Bara inilah yang amat bahaya dalam politik Malaysia hari ini.
Dr Ridhuan Tee Abdullah