Khamis, 30 Disember 2010

SUK: Jangan pertikai perkenan Sultan

 ‪
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor memberi ingatan tegas terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya jangan mempertikaikan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

Naib Yang Dipertuanya, Datuk Amir Hamzah Mohd. berkata, ingatan itu diberi kerana pihaknya menyifatkan mana-mana pihak yang menentang keputusan Sultan Selangor dalam sesuatu perkara termasuk pelantikan jawatan tersebut merupakan satu tindakan yang biadab serta tidak menghormati kedudukan institusi beraja di negeri ini.

Katanya, perkenan baginda melantik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK berkuat kuasa 1 Januari ini adalah satu keputusan yang harus dihormati oleh semua pihak kerana ia dibuat berasaskan bidang kuasa baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Jelasnya, berdasarkan peruntukan undang-undang itu, baginda sememangnya mempunyai kuasa eksekutif dalam pelantikan SUK termasuk Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Kalau kita lihat, pelantikan Mohammed Khusrin itu dibuat di peringkat Persekutuan seperti yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada 27 Disember lalu.

"KSN sendiri telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk pelantikan tersebut. Jadi apa sebab Menteri Besar menerusi satu kenyataan mengatakan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad.

"Apakah Menteri Besar hari ini mahu membelakangkan dan tidak mahu menghormati keputusan Sultan Selangor yang jelas dibuat berdasarkan bidang kuasa yang ada pada baginda. Lagipun, pelantikan SUK bukan bidang kuasa Menteri Besar jika mengikut perlembagaan negeri," katanya kepada

Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Sekretariat Akhbar Menteri Besar pada 27 Disember lalu yang menyatakan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatannya Jumaat ini, belum muktamad.

Ini kerana menurut kenyataan itu, pelantikan Mohammed Khusrin tidak pernah dimaklumkan kepada Abdul Khalid yang turut memiliki tiga nama individu lain untuk dipertimbangkan mengisi jawatan berkenaan.

Ekoran tidak berpuas hati dengan pelantikan Mohammed Khusrin, kenyataan itu turut menyebut bahawa Abdul Khalid sendiri akan menghadap Sultan Selangor bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan, pihaknya mungkin mengadakan satu bantahan secara besar-besaran sekiranya Menteri Besar terus mempertikaikan keputusan Sultan Selangor dalam soal pelantikan SUK dalam tempoh terdekat ini.

"Kita tidak mahu sikap dan budaya membelakangkan institusi raja dan segala keputusannya berleluasa di negeri ini. Keputusan Sultan Selangor dalam apa jua perkara harus dijunjung dan dihormati oleh semua pihak.

"Jangan hanya kerana mahu melantik individu pilihan untuk mengisi jawatan SUK, sanggup kita ketepikan bidang kuasa dan institusi raja," ujarnya.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.