Beliau yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang memegang kad keahlian 00012 itu berkata, keputusannya juga dipengaruhi kerana parti itu juga tidak tetap dengan matlamat dan prinsip perjuangan.
Katanya, sejak penubuhannya 12 tahun lalu parti itu mempunyai pelbagai agenda termasuk reformasi, agenda perubahan, Malaysia Baru, Selamatkan Malaysia dan Reformasi ke Putrajaya yang dilihat mengelirukan dan tiada matlamat yang tetap.
"PKR sudah tidak ada agenda perjuangan yang tetap. Agenda perjuangan yang mereka ada adalah agenda perjuangan seorang yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana Anwar Ibrahim itu hebat. Di dunia ini tidak ada satu parti, pemimpinnya tidak perlu dipilih dalam proses pemilihan. Dia (pegang jawatan ketua) seumur hidup.
"Dia sebut dia ketua umum, tapi dia bukan ketua umum, dia ketua ketuanan PKR, kerana semua proses pemilihan apa jawatan pun mesti dipersetujui oleh dia dan Majlis Tertinggi parti tidak ada kuasa," katanya pada sidang media di Bangunan MCA, pada Selasa.
Secara simbolik mengistiharkan keluar parti, Lum Yong turut mengoyakkan kad keahliannya dan menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Sementara itu, Chua ketika menerima borang permohonan bekas pemimpin PKR itu berkata MCA mengalu-alukan hasrat Ng untuk menyertai parti tersebut dan percaya penyertaannya dibuat kerana beliau menyokong agenda perjuangan parti berkenaan.
"Sebenarnya selepas pemilihan parti pada tahun lepas, sehingga Disember tahun lalu, MCA telah terima 17,370 ahli baru. Kita rasa bangga kerana daripada jumlah itu, 60 peratus merupakan golongan belia dan mereka yang berumur bawah 40 tahun," ujarnya.
Beliau berkata MCA bersikap terbuka dan sesiapa sahaja yang berketurunan Tionghoa boleh menjadi anggota parti itu.
Soi Lek berkata penyertaan Ng dalam MCA bakal menghantar satu isyarat yang jelas bahawa parti pembangkang semakin kehilangan pengaruh selepas kejayaan mereka pada pilihan raya umum 2008.
"Kita tidak tawarkan apa-apa jawatan kepadanya. Beliau hanya diterima sebagai ahli biasa. Kami bukan macam parti lain yang menawarkan pelbagai jawatan untuk mana-mana ahli politik menyertai parti mereka," katanya
Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata tindakan Ng untuk keluar daripada PKR membuktikan bahawa hari ini hampir semua 30 anggota pertama yang juga merupakan pengasas parti itu termasuk dirinya sudah keluar akibat sudah tidak percaya kepada parti.
"Hampir 90 peratus pengasas parti Keadilan itu sudah tidak ada dan antara pengasas parti Keadilan adalah saudara Lum Yong, yang merupakan pemimpin utama masyarakat Cina yang bersama kita mengasaskan PKR.
"Jadi saya mahu beritahu kepada pengundi-pengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Tenang ini kalau pengasas-pengasas parti pun sudah tidak percaya parti, anda yang tidak tahu tentang parti (PKR) baik jangan dengarlah," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.