Sabtu, 8 Januari 2011

SPRM KENA TERUS MENYIASAT PELEWENGAN DAP KERANA ISU TEOH BENG HOCK DAN SELESAI

Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my

LEBIH setahun lalu, seorang pembantu ahli politik DAP, Teoh Beng Hock terbunuh selepas terjatuh dari Plaza Masalam, Shah Alam, bangunan yang satu ketika pernah menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Ini berlaku selepas beliau disoal siasat sebagai saksi dalam kes penyelewengan wang peruntukan pembangunan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

Tragedi yang menimpa Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, telah membangkitkan reaksi negatif di kalangan pemimpin dan penyokong pembangkang khususnya DAP sehingga menyebabkan mereka berdemonstrasi di depan bangunan tersebut.

Sememangnya amat aneh, tiba-tiba pembangkang mengamuk seolah-olah SPRM yang bertanggungjawab ke atas kematian bekas wartawan Sin Chew Daily itu.

Apa kena mengena kematian Beng Hock dengan mengutip tanda tangan untuk menghantar petisyen mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meletak jawatan?

Walaupun dari segi luaran pembangkang kelihatan berdukacita, tetapi dalam hati, mereka bersorak kegembiraan. Kematian Beng Hock, akhirnya menyebabkan kes penyelewengan peruntukan ADUN DAP ini tertolak ke belakang.

Sepatutnya, kes ini yang menjadi buah mulut rakyat kerana pembangkang selalu bercakap tentang integriti dan menuduh semua orang lain tidak betul.

Desakan demi desakan yang dibuat menyebabkan kerajaan terpaksa mengadakan inkues bagi menyiasat kematian beliau. Setelah berlangsung hampir 18 bulan, akhirnya pada Rabu lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas membaca keputusan mengesahkan mendiang menemui ajal bukan akibat dibunuh dan juga tidak disebabkan membunuh diri atau wujudnya tindakan pihak ketiga dalam kes berkenaan.

Seperti dijangka, keputusan itu tidak memuaskan hati pihak pembangkang termasuk dua pemimpin DAP yang menjadi peguam pemerhati mewakili keluarga mendiang, Gobind Singh Deo dan ayahnya, Karpal Singh. Mereka menuntut ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kes itu.

Reaksi pihak berkenaan bukanlah aneh jika dilihat kelakuan mereka sepanjang inkues itu berjalan. Keluarga mendiang telah digunakan sebagai aktor dalam drama politik yang diterbitkan oleh DAP dengan matlamat meraih sokongan politik dan menimbulkan perasaan benci terhadap SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh yang diminta pandangannya mengenai isu berkenaan berkata, siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan peruntukan itu perlu diteruskan setelah selesai isu-isu berkaitan kematian Beng Hock.

''Inkues ini telah selesai, tetapi nampaknya ada pihak yang mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan. Ini bermakna, isu kematian Beng Hock akan terus berlarutan.

''Jika semua isu berkaitan kes ini selesai, siasatan SPRM Selangor harus diteruskan tanpa perasaan takut atau menyebelahi mana-mana pihak," katanya.

Mohd. Tap yakin SPRM memang berhasrat untuk meneruskan siasatan kes penyelewengan berkenaan berdasarkan tiada sebarang pengumuman yang dibuat untuk menutup kes itu.

''Saya difahamkan siasatan ini hanya terhenti seketika apabila polis menyiasat SPRM Selangor berikutan kematian mengejut Beng Hock," ujarnya lagi.

SPRM memulakan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan selepas menerima aduan daripada beberapa pihak yang mendakwa wang peruntukan pembangunan ADUN DAP disalurkan kepada organisasi dan individu yang tidak wujud.

DAP didakwa menjalankan kegiatan 'mencuri' peruntukan itu dengan pengetahuan ADUN berkenaan dengan menubuhkan syarikat, invois serta projek palsu bagi membolehkan wang sebanyak RM500,000 seorang setiap tahun, dialihkan ke dalam akaun parti itu.

Antara yang didakwa terlibat ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Pandamaran, Ronnie Liu. Beliau bagaimanapun telah menafikan melakukan perbuatan berkenaan.

Enam ADUN DAP lain yang turut disiasat SPRM ialah Hian Wah (Seri Kembangan), Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang Jaya), Dr. Cheah Wing Yin (Damansara Utama), Edward Lee (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku).

Beng Hock yang dikatakan telah dipaksa melibatkan diri dalam skandal itu telah membuat salinan kesemua invois palsu dan segala bukti penyelewengan berkenaan dan menyimpannya di dalam cakera padat. Salinan itu telah diberi kepada seseorang untuk disimpan dengan selamat.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd. Karim yang kecewa dengan segala sandiwara DAP itu, mendesak SPRM supaya tidak terperangkap dengan strategi parti itu untuk memperbesarkan isu kematian Beng Hock bagi menutup skandal lebih besar.

''DAP jelas sekali telah mempolitikkan usaha memerangi jenayah rasuah di Selangor. Mereka menggunakan kaedah sama yang dibuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melengah-lengahkan kes liwatnya," ujar beliau.

Tegas beliau, SPRM tidak harus tunduk terhadap pihak pembangkang yang dilihat sedang berusaha keras melemahkan moral anggota suruhanjaya itu daripada meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka untuk memerangi rasuah.

''Cubalah kita renungkan semula siasatan SPRM di negeri-negeri lain yang berjalan lancar tanpa sebarang isu yang timbul.

''Namun bila siasatan dibuat di Selangor, kekecohan mula berlaku. Pelbagai fitnah dan hasutan mula dibuat dalam media alternatif dan blog propembangkang menyatakan ia adalah konspirasi BN.

''Saya ingin bertanya kepada SPRM, apa sudah jadi dengan siasatan terhadap pegawai-pegawai kerajaan Selangor berhubung kes curi pasir. Kenapa didiamkan perkara ini?'' katanya.

Tegas beliau, janganlah kerana desakan dan hentaman pembangkang, SPRM menjadi semakin takut untuk menegakkan keadilan.

''Adakah pemimpin di Selangor kebal daripada tindakan undang-undang? Adakah salah guna kuasa dan penyelewengan digalakkan di negeri ini?

''SPRM harus berani bertindak dan jangan tunduk kepada desakan serta tekanan mereka. Ini hanyalah sandiwara politik untuk mengaburi mata rakyat terhadap isu sebenar iaitu rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka," katanya. Tegas Jais lagi, bagaimanakah SPRM boleh memerangi rasuah dengan berkesan jika mereka takut bertindak dan bimbang dituduh berkonspirasi dengan kerajaan BN bagi menjatuhkan kerajaan Selangor