Khamis, 24 Februari 2011

Wali fasik

7 Mei 2003  (Hrkh) - Keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertegas mahu majlis akad nikah anak sulung beliau, Nurul Izzah, dilangsungkan di kediaman mereka di Bukit Damansara, di sini, bukannya di tempat-tempat lain.

Adik Anwar, Rusli Ibrahim berkata, keluarganya tidak mahu majlis bersejarah buat Izzah itu diadakan di tempat lain selain di kediamannya dan amat berharap bekas Timbalan Perdana Menteri itu diberi pelepasan oleh pihak kerajaan untuk pulang ke rumah pada hari tersebut.

“Kami telah mengemukakan permohonan bertulis kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Penjara Sungai Buloh meminta agar Anwar dibenarkan pulang bersempena hari tersebut,” kata Rusli kepada Harakahdaily.

Majlis akad nikah Izzah, 23, dengan Raja Ahmad Sahrir Raja Sulaiman, 27, dijadualkan pada 9 Mei ini.

Mengulas khabar angin yang menyatakan pihak kerajaan tidak membenarkan Anwar pulang dan majlis akad nikah itu terpaksa dijalankan di Penjara Sungai Buloh, Rusli berkata, setakat ini beliau belum menerima apa-apa jawapan daripada KDN berhubung perkara tersebut.

“Namun sekiranya khabar ini benar, ia amat tidak wajar kerana Anwar patut dibenarkan pulang menjalankan kewajipannya sebagai wali anaknya," kata beliau.

Selain itu katanya, menurut Kadi, akad nikah mesti dijalankan dalam kariah pengantin, iaitu di Bukti Damansara.

Menulas lebih lanjut beliau berkata, jika majlis di adakan di penjara ia akan menjadi 'tidak selesa', kerana para tetamu terpaksa melalui kawalan yang ketat serta peraturan-peraturan lain.

“Sebagai ahli keluarga pengantin kami mahu pernikahan ini diadakan dalam keadaan yang aman dan tenang,” kata beliau.

Menyentuh soal persiapan lain, Rusli berkata, setakat ini semua persiapan untuk majlis perkahwinan itu berjalan lancar.

“Sambutan yang diterima daripada orang ramai dan penyokong Anwar amat membanggakan dan di luar dugaan kami sama sekali ,” kata beliau lagi.

Namun katanya, penyediaan persiapan menjadi agak rumit apabila Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan ikat jamin Anwar pada tarikh yang sama dengan tarikh perkahwinan Izzah.

“Pada 24 April lepas, kami menghantar surat kepada KDN memohon agar Anwar dibenarkan pulang pada 9 Mei, tetapi lima hari selepas itu mahkamah memberi notis untuk mendengar kes pada tarikh yang sama,” jelasnya.

______________________
Terbitan : 8 Mei 2003