Antaranya, SPRM dijangka mendedahkan bagaimana hampir 30 peratus hasil keuntungan beberapa projek pembinaan disalurkan kepada DAP.
Penemuan hasil siasatan SPRM itu dikatakan mempunyai impak yang sangat kuat terhadap diri Beng Hock.
"Siasatan SPRM di Seremban, Negeri Sembilan mendapati seorang kontraktor yang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa pemimpin DAP bertindak menyalurkan sejumlah dana yakni sekitar 30 peratus daripada nilai projek yang diperoleh ke dalam akaun parti, maka keadaan itu dipercayai menyebabkan Beng Hock merasa tertekan dan seterusnya membunuh diri," kata Peguam SPRM, Datuk Shafee Abdullah di sini hari ini.
Malah, SPRM akan turut mengemukakan beberapa bukti penyalahgunaan kuasa parti politik terbabit yang mengaitkan mendiang.
SPRM yakin bukti-bukti yang dikemukakan pihak itu sekaligus bakal merubah persepsi masyarakat Malaysia terhadap kematian Beng Hock.
Jika selama ini SPRM kerap kali digambarkan kononnya sebagai 'bersalah' dalam kes kematian Beng Hock oleh pihak-pihak tertentu, Shafee akan berhujah dengan beberapa bukti-bukti baru bagi menangkis persepsi itu.
"Setakat ini, ujian forensik dan patologi membuktikan mendiang meninggal dunia bukan atas sebab ditolak atau dibunuh oleh sesiapa, cuma ada hujah melibatkan aspek leher mendiang yang kononnya dicekik tetapi sebenarnya lebih kepada proses semulajadi kimia dalam badan," katanya dalam satu pertemuan di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Shafee turut menerangkan mengenai keputusan penyelidikan oleh pasukan forensik dan patologi mengenai keadaan mayat mendiang, nota bunuh diri dan saksi-saksi SPRM serta proses siasatan pihak polis ke atas beberapa pegawai SPRM dari malam hingga ke pagi tanpa dibekalkan makanan atau minuman, sesuatu yang agak mengejutkan baginya.
"Pegawai SPRM bukan sahaja diasak teruk oleh para pengamal media baru malah turut tidak mendapat simpati oleh pihak polis yang menyoal siasat beberapa pegawai SPRM dari jam sekitar 8 malam sehingga 7 pagi keesokan harinya tanpa diberi minum seteguk air atau menjamah sebarang makanan," katanya.
Pada sesi pertemuan yang sama, Shafee turut bersoal-jawab dengan beberapa peserta dan penulis blog mengenai aspek teknikal yang menyelubungi 'misteri' kematian itu seperti kedudukan tingkap yang berbentuk 45 darjah, jarak lapan kaki antara bangunan dengan lokasi mayat mendiang ditemui serta pelbagai kemungkinan motif kematian mendiang.
Ditanya mengapa beliau menyertai RCI itu setelah ia berjalan sekian lama, Shafee berkata, beliau tidak nampak sebab yang munasabah untuk seorang kakitangan awam atau lebih tepat lagi pegawai SPRM ingin membunuh Beng Hock sedangkan mendiang hanya seorang saksi.
"Saya lihat kes kematian ini terlalu dipolitikkan dan secara logiknya, saya percaya pegawai SPRM tidak akan tergamak untuk membunuh mana-mana saksi kes apatah lagi melakukannya di tempat kerja sendiri," katanya.
Mengenai nota bunuh diri yang terlalu lama tidak didedahkan tetapi sah ditulis oleh mendiang sendiri selepas ujian kimia atas dakwat pen dan ujian tulisan ke atasnya, Shafee berkata, itu bukan kesalahanlah SPRM. Sebaliknya ia tertakluk dalam siasatan oleh pihak polis. RCI itu dijangka membuat keputusan dan kemudiannya menyerahkan laporan kepada Yang diPertuan Agong selewat-lewatnya 25 April ini.
Beng Hock ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas disoal siasat semalaman di tingkat 14 premis itu.
Beng Hock disoal siasat sebagai lanjutan daripada penemuan beberapa dokumen dari telefon bimbitnya yang menimbulkan keraguan di kalangan pegawai SPRM yang berkunjung ke pejabat beliau sebelum itu.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.