Jumaat, 15 April 2011

Pengkhianat Negara perlu dihukum, lebih-lebih lagi seorang pegawai tentera



Kementerian Pertahanan sudahpun mengenal pasti seorang pegawai kanannya yang didakwa terlibat dalam konspirasi memfitnah pemimpin negara dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan pegawai itu sudahpun dilepaskan daripada tugas rasminya sehingga siasatan selesai.


Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata pihak tentera sedang menyiasat penglibatan pegawai itu yang berpangkat kolonel.


"Maklumat yang disampaikan pegawai tersebut kepada penulis blog Raja Petra Kamarudin adalah palsu dan maklumat itu tidak pernah wujud dalam simpanan pihak tentera," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.


Azizan berkata siasatan pihak tentera mendapati bahawa tindakan pegawai itu melibatkan diri dengan seorang pemimpin pembangkang adalah bersifat peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan ATM.


Beliau berkata siasatan terhadap dakwaan oleh Raja Petra yang dilaporkan akan dilaksanakan dengan secepat mungkin dan sebuah Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan itu.


"Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM," kata Azizan.



-- BERNAMA



Pengarang Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin berjaya menarik perhatian Kementerian Pertahanan bersabit dakwaan beliau mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu apabila seorang pegawai tentera kanan digantung tugas sementara untuk siasatan dilakukan.

Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa ia menggantung Kol Azmi Zainal Abidin dari tugas-tugas rasmi.

Kol Azmi adalah orang kedua dalam unit cawangan khas ATM pada tahun 2008 sebelum dipindahkan ke cabang lain.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizah Ariffin bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa wujud sebuah laporan ATM mensabitkan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor dan dua pegawai tentera lain hadir di tempat kejadian malam Altantuya mati dibom pada Oktober 2006.

Dalam satu kenyataan, Azizan berkata, “pihak ATM ingin menegaskan bahawa maklumat yang disampaikan oleh Kolonel Azmi kepada Raja Petra Kamarudin adalah palsu.”

Beliau juga menegaskan laporan yang disebut oleh Raja Petra tidak pernah wujud dalam simpanan ATM.

“Tindakan Kolonel Azmi adalah bersifat peribadi dan tiada sebarang kaitan dengan ATM,” kata beliau.

Raja Petra semalam berkata beliau memberikan wawancara kepada TV3 bersabit isu itu kerana mahu menarik perhatian pihak berkuasa untuk menyiasat Kol Azmi dan pihak lain yang terlibat bersabit dokumen itu.

Dalam wawancara dengan stesen telivisyen pro-Umno itu, Raja Petra berkata dua individu yang pernah bekerja untuk Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan dokumen itu wujud dan mahu Raja Petra mendedahkanya.

Raja Petra membuat perakuan bersumpah (SD) pada Jun 2008 setelah blogger Din Merican turut mengesahkan bahawa Kol Azmi berjumpa dengan Datuk Seri Anwar beberapa kali dan boleh dipercayai.

Raja Petra terpaksa mencari perlindungan di Australia setelah dijejaki polis kerana membuat SD yang merujuk kepada laporan ATM itu untuk mensabitkan penglibatan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya.

Azizan berkata, Lt Kolonel Azmi yang dimaksudkan Raja Petra adalah seorang pegawai Tentera Darat yang kini berpangkat kolonel.

Beliau ditukarkan dari Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas sejak 14 Januari 2008 dan kini sedang bertugas di Markas Tentera Darat, kata Azizan.

Azizan juga berkata siasatan terhadap dakwaan Raja Petra akan dilaksanakan dengan secepat mungkin dengan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Azizan, pegawai kanan terbabit telah dilepaskan daripada sebarang tugas rasmi sehingga siasatan selesai.

Dalam satu temu bual bersama TV3 kelmarin, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan wanita Altantuya.

Beliau berkata SDnya hanya merujuk kepada maklumat yang diperolehi bersabit laporan risikan ATM itu yang memerlukan siasatan lanjut.