Rabu, 25 Mei 2011

Kegiatan mengorek pasir secara haram perlu dipantau

Posted by Sarimah


Raja Ahmad

Jawatankuasa Tindakan Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) memandang serius aktiviti pengambilan pasir secara haram yang berlaku di daerah itu, kata Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Katanya, kegiatan tidak bertanggungjawab itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah di Taiping, Isnin.

“Pengusaha yang mengambil dan mengorek pasir harus bertanggungjawab dan hanya tertumpu kepada kawasan yang telah diluluskan oleh Pejabat Daerah dan tidak seharusnya menceroboh ke tempat lain.

“Sejak kebelakangan ini, industri mengorek pasir menjadi tarikan kerana bahan itu amat diperlukan dengan kuantiti yang banyak untuk memenuhi keperluan projek besar seperti pembinaan landasan keretapi berkembar dan projek mega yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pembukaan semula stesen keretapi Pondok Tanjung, dekat Kamunting seperti yang telah dibangkitkan sebelum ini turut mendapat perhatian serius dalam mesyuarat tersebut, katanya lagi.

“Saya berharap pihak berkenaan iaitu Keretapi Melayu Berhad (KTMB) dapat menimbang semula untuk mengekalkan stesen tersebut.

“Kewujudan stesen ini penting kerana pembangunan pesat Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan ketika ini tiada sebarang pengangkutan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah dan Batu Kurau,” tegasnya lagi.

Selain itu katanya, masalah kesihatan terutama isu lalat yang mengancam persekitaraan DUN Kubu Gajah dan setinggan sifar dan kemiskinan tegar turut dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu.

PERAK TODAY