Rabu, 11 Mei 2011

Kerajaan Perak respon protes Bekas penduduk KTM Larut Matang


YB Dato Mohammad Zahir


Kerajaan Perak akan melanjutkan tempoh pembayaran bantuan sewa kepada bekas penduduk setinggan di Tanah Rizab KTMB Larut/Matang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemunting, Datuk Mohd Zahir Abd Khalid memberitahu setakat ini kerajaan negeri telah memohon kepada pihak persekutuan untuk melanjutkan tempoh bantuan sewa itu antara 6 bulan sehingga tahun hadapan.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telah pun memohon perkara sama menjadikan tempoh bayaran bantuan itu dilanjutkan sehingga Jun depan.

“Kalau ikutkan perjanjian, bayaran bantuan sewa itu telah pun berakhir bulan Jun tahun lepas… naum kita telah pohon untuk lanjutkan bayaran bantuan berkenaan.

“Oleh sebab pembinaan rumah mampu milik masih belum dilaksanakan jadi kerajaan negeri sekali lagi akan memohon kepada kerajaan pusat untuk melanjutkan bayaran tersebut dalam tempoh antara 6 bulan ke setahun.

“Kita harap selepas ini tidak ada masalah lagi berkaitan isu ini kerana kerajaan negeri sedang berusaha keras untuk memastikan kehidupan selesa kepada rakyat Perak.

Tambah Zahir lagi, usaha tersebut merupakan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan rakyat tidak terkecuali dengan agenda pembangunan yang direncanakan.

Jelas beliau lagi, berkaitan pemberian pampasan lot tanah yang dikatakan bekas lombong itu adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, kerajaan telah membuat penelitian sebelum memberi lot tanah itu kepada rakyat kerana ia sudah tentu akan merisikokan nyawa penduduk yang bakal tinggal di kawasan itu.

“Memang ada tapak bekas lombong dikawasan itu… tetapi kerajaan negeri tidaklah membuat di atas bekas lombong yang ditimbus itu.

“Kita telah panggil pelbagai pihak untuk membuat kajian di kawasan itu… kita ada panggil jurutera.. dan pegawai ukur tanah dan lain-lain… kawasan itu selamat untuk didiami.

Zahir berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Pejabat Menteri Besar di Ipoh.