Sabtu, 2 Julai 2011

Pergolakan buka ruang kuasa besar campurtangan urusan negara: TPM



Kuasa besar dunia bermungkinan akan bertindak mencampuri urusan dalam negara ini jika berlaku pergolakan dan huru-hara akibat daripada perhimpunan haram Bersih 2.0 yang dirancang oleh kumpulan pengacau pada 9 Julai ini.

Amaran itu dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut memberi contoh bagaimana kuasa besar dunia kini mencampuri urusan negara Afghanistan, Iran dan Timur Tengah kerana berlaku pergolakan dan pertumpahan darah di negara terbabit.

Tegasnya, Malaysia akan berhadapan masalah sama jika tercetus pergolakan yang turut akan menyumbang kepada ketidakstabilan politik, menjejaskan peluang pelaburan ekonomi serta merosakkan perpaduan antara kaum dan agama yang terbina selama ini.

“Kuasa besar ini berkemungkinan mencampuri urusan apabila rakyat tidak lagi menghormati kerajaan Malaysia yang terbina sejak lebih 50 lalu dan bakal mengalami nasib sama seperti negara Afghanistan, Iran dan negara Timur Tengah jika berlaku pergolakan seperti yang dirancang oleh kumpulan pengacau pada 9 Julai nanti.



“Oleh itu, rakyat tidak perlu bersimpati dengan kumpulan pengacau ini sebaliknya mengutuk habis-habisan tindakan mereka ini kerana ia akan menjejaskan keamanan dan perpaduan negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Rkayat di Taman Kaya, dekat Taiping, pagi ini.

Kumpulan pengacau itu katanya, bukan sahaja berkempen di seluruh negara untuk menarik penyertaan rakyat menyertai perhimpunan haram itu tetapi juga di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dengan mendakwa sistem pilihan raya di Malaysia tidak adil dan bersih.

Dakwaan itu katanya, tidak seharusnya timbul kerana negara ini mengamallkan sistem demokrasi berparlimen di mana kuasa memilih kerajaan diserahkan kepada rakyat.

“Setakat ini, kita sudah mengadakan 12 kali pilihan raya umum dan saya sendiri diberi amanah mengetuai lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini di mana ada calon Barisan Nasional (BN) menang dan begitu juga dengan pihak pembangkang.

“Pada PRU ke 12, kita kalah di Selangor, Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Perak tetapi BN masih mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Pemimpin BN dapat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka kerana yakin sistem pilihanraya yang diamalkan ini bersih dan adil berdasarkan kepada pilihan yang ditentukan oleh rakyat,” ulasnya lagi.

Tambahnya lagi, bagi meningkatkan semula imej pemimpin pembangkang yang semakin menurun disebabkan pelbagai masalah politik dan kes mahkamah, kumpulan pengacau ini mahu menggunakan perhimpunan haram besar-besaran sebagai platform untuk menaikkan semangat penyokong.

Katanya, rakyat juga tidak harus mengambil mudah kejayaan negara mempupuk perpaduan antara kaum dan agama, keharmonian, pembangunan dan keamanan yang dikecapi selama ini.

“Apabila sebut Malaysia, kita tahu ia aman, bersatu, tiada pergolakan, tidak huru hara, tiada perang saudara dan pertumpahan darah…sudah jadi lumrah tetapi sebenarnya ia tidak mudah kalau tiada kerjasama dan konsep politik BN di mana semua duduk semeja untuk membangunkan negara,” katanya.

Kejayaan Malaysia mengekalkan keamaman dan semangat perpaduan rakyat juga tegasnya, menjadi contoh kepada negara membangun lain di seluruh dunia.

“Maka, kita perlu pastikan persefahaman, kerjasama, semangat bersatu-padu di kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama wujud agar keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara hari ini kekal berterusan,” tegas Muhyiddin lagi.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran membuat tinjauan mesra dan menyampaikan bantuan kepada rakyat miskin di Kampung Baru Pokok Assam serta melawat Pasar Awam Taman Kaya.

Pada sebelah pagi, beliau melancarkan Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Padang Dataran Perbandaran Taiping yang membabitkan lebih 17,000 peserta terdiri murid dan pelajar dari 50 sekolah dari sekitar Daerah Larut Matang dan Selama.
 
ditulis oleh Suhaila dari Perak Today.