Golongan muda terbeban akibat inflasi
FMT Staff | July 27, 2011 Rata-rata golongan muda masih lagi menanggung pelbagai hutang seperti hutang rumah dan hutang kereta. |
“Contohnya, kenaikan sebanyak 25 mata asas (25 basis point) akan meningkatkan beban bayaran bulanan pinjaman rumah yang ditanggung oleh golongan muda.
“Rata-rata golongan muda masih lagi menanggung pelbagai hutang seperti hutang rumah dan hutang kereta,” kata Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai hutang pinjaman rumah sejumlah RM280,000 (iaitu kos rumah sederhana di bandar dan separa bandar), kenaikan 25 mata asas kadar pinjaman akan meningkatkan bayaran sekurang-kurangnya RM50 sebulan.
“Peningkatan ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya jumlah hutang adalah lebih tinggi,” terangnya.
Katanya, kesan berganda daripada peningkatan ini akan dirasa apabila dicampur dengan kenaikan hampir sekali ganda bil elektrik bagi isi rumah yang bilnya melebihi RM77 sebulan, kenaikan harga minyak, kenaikan makanan, kos persekolahan anak-anak dan sebagainya.
“Kenaikan ini sudah memuncak ke peringkat yang benar-benar membebankan golongan muda, apatah lagi bila mana gaji tidak meningkat selaras dengan kenaikan harga barang,” jelas beliau.
Rafizi berkata, walaupun tindakan konvensional mana-mana bank pusat dalam keadaan ini adalah menaikkan kadar pinjaman, sewajarnya pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) juga mengambil langkah drastik mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau menyambut baik kenyataan terbuka Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa masalah inflasi di
Malaysia perlu diberi perhatian serius seperti yang dilaporkan oleh Reuters pada 25 Julai lalu.
“Kenyataan beliau yang berterus terang mengenai masalah kenaikan harga barang yang ditanggung oleh rakyat itu sangat berbeza dengan dolak dalih pimpinan BN yang sehingga kini tidak mahu menerima kenyataan bahawa kenaikan harga barang yang mendadak adalah satu masalah serius di negara ini,” katanya.