Sabtu, 13 Ogos 2011

Apa dah jadi dengan Aspan Alias?

Blogger Aspan Alias ingin masuk DAP ? 

Jalan lain untuk bina kepimpinan negara – Oleh Aspan Alias


DAP merupakan satu parti yang telah bangun dengan memberikan contoh yang baik dan memberangsangkan jika kita lihat dari kualiti manusia yang memimpinnya.

Kejayaan DAP menjadi kerajaan yang baik dan telus telah membuktikan kepada rakyat yang parti itu seperti juga PAS telah mampu mentadbir dengan baik walau pun telah di himpit dengan tekanan-tekanan yang tidak demokratik dari Barisan Nasional yang memerintah kerajaan pusat.

Kejayaan DAP dan PAS ini tidak disukai oleh BN khususnya UMNO dan pihak pusat telah memberikan tekanan yang kuat terhadap negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat untuk menonjolkan kelemahan mereka supaya rakyat kembali memberi sokongan terhadap mereka (UMNO).

DAP kini telah dan sedang menyelesaikan masalah yang sudah lama dihadapi oleh parti itu, iaitu momokan pihak parti pemerintah yang parti itu adalah parti Cina, komunis, dan segala-galanya yang tidak baik.

Moral kepimpinan DAP

Sedangkan DAP telah berusaha untuk menunjukan bukti yang ia merupakan parti berbilang kaum yang ingin melihat sebuah kerajaan yang decent dan mempunyai nilai kemanusiaan yang bermoral dan beretika dalam kepimpinan.

DAP setakat ini telah menjaga moral kepimpinannya dengan mentadbir tanpa mengambil kira bangsa dan agama.

Malahan sikap terbuka DAP itu telah membuat MCA rasa cemburu dengan menuduh DAP telah memberikan keutamaan kepada orang Melayu dalam pembahagian kontrak-kontrak baru-baru ini. Tan Cheng Liang, ketua wanita MCA Pulau Pinang telah membidas kerana kerajaan negeri itu telh memberikan banyak kontrak kepada orang Melayu.

UMNO pula menuduh DAP telah mengenepikan kepentingan orang Melayu bagi menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti yang sedang berusaha melakukan perbezaan dari apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Lim Guan Eng telah menjawab bahawa pembahagian kontrak itu adalah berdasarkan kepada kredibiliti syarikat-syarikat yang menawarkan kerja-kerja itu tanpa mengira kaum.

Saya dan ramai yang lain berpendapat bahawa Melayu sepatutnya menyertai parti yang serius dalam membentuk kepimpinan yang bertanggungjawab, sama ada DAP atau pun PAS tanpa menyanyikan lagu-lagu lama rasis yang amat menjemukan.

Apabila DAP serius untuk menunjukan yang parti itu bukan main-main di dalam usaha menjadikan parti itu sebagai parti yang berbilang kaum, maka UMNO telah menuduh DAP sedang berusaha menggunakan orang Melayu untuk mendapat undi.

DAP bukan mahu jawatan PM

DAP yang saya hampiri akhir-akhir ini acapkali memberitahu saya dan orang ramai yang DAP bukan parti untuk menjadi Perdana Menteri kerana DAP tidak pun menurunkan calon yang secukupnya untuk menguasai Dewan Legislatif Parlimen.

DAP hanya mahu melihat kerajaan yang telus dan terbuka dan jauh dari rasuah dan salah guna kuasa.

DAP akui yang DAP tidak mungkin menjadi PM tetapi isu inilah yang dimainkan oleh BN khususnya UMNO untuk menakutkan orang Melayu daripada menghampiri dan memberikan sokongan kepada parti yang serius ini.

Saya bersetuju dengan pendapat yang orang Melayu boleh mengasah kepimpinan melalui dua buah parti ini, iaitu PAS dan DAP.

Di sini UMNO telah gagal 100 peratus kerana sejak hampir 30 puluh tahun yang lalu UMNO hanya mampu membina pengampu dan pembodek yang besar kerana kepentingan ekonomi yang besar sehinggakan manusia yang berkempimpinan telah secara beransur-ansur hilang dari barisan kepimpinan di setiap peringkat.

UMNO telah membina dengan besarnya komuniti kepimpinan yang hanya berpolitiking dan tidak berpolitik.

DAP dan PAS sebagai alternatif

Setelah menunggu sebegitu lama untuk UMNO membina kepimpinan, maka ramai orang Melayu sudah memulakan langkah untuk membina kepimpinan melalui parti DAP, selain dari PAS.

Menyertai DAP merupakan langkah yang baik untuk orang Melayu bagi mengimbangkan komposisi kaum untuk membuktikan yang parti itu adalah benar-benar sebuah parti berbilang kaum dan agama.

PAS yang juga parti berbilang kaum yang didominasi oleh orang Melayu jika bekerjasama dengan DAP yang juga parti yang berbilang kaum akan menambah kepimpinan Melayu di dalam siasah negara.

Saya amat merasakan yang keadaan dan kerjasama di antara PAS dan DAP itu akan memberikan impak besar terhadap usaha untuk melenyapkan permainan isu rasis dengan terbuka di hari muka.

Orang Melayu yang ingin melihat kepimpinan orang Melayu berkembang meninggalkan parti parti yang berunsurkan rasis wajar dilakukan dengan kadar yang segera. Puluhan tahun UMNO memainkan isu rasis tetapi Melayu tidak juga terbela.

Taukeh Cina, perpecahan dalaman UMNO

Di belakang pemimpin yang memainkan isu rasis Melayu berkumandang mendendangkan isu ini adalah terdiri dari taukeh-taukeh Cina juga.

Mereka pecahkan kita dengan kaum lain tetapi mereka mendapat habuan besar dari taukeh-taukeh Cina juga. Berdekad-dekad kita diperdaya oleh pemimpin-pemimpin kita sendiri.

Ramai di antara orang Melayu UMNO sendiri jemu dengan perpecahan di kalangan pimpinan tertinggi parti.

Walau pun mereka menafikan keadaan itu berlaku kita tahu perkara itu benar. Najib Tun Razak sendiri kalau bergantung kepada sokongan dalaman UMNO akan meletakkan diri beliau dalam kedudukan seperti telur di hujung tanduk.

Bagi saya UMNO sudah hilang segala kemungkinan akan menjadi parti yang diyakini rakyat lagi kerana sudah kehilangan kepimpinan untuk menjaga generasi kita yang akan datang. Sokongan semakin hari semakin menirus, ibarat tali gasing; lagi ke hujung lagi halus.

Jika kita harapkan UMNO untuk membina kepimpinan Melayu ianya ibarat menunggu buah yang tidak jatuh. Bagi mereka yang serius tentang isu ini elok bermula dengan menghampiri parti-parti yang berkepimpinan.

Yang ada dalam UMNO hanyalah mereka yang tidak berani menggorak langkah untuk keluar dari kepompong pimpinan yang jumud dan tidak mempunyai haluan dan tujuan. –Roketkini.com

http://aspanaliasnet.blogspot.com/