Kalaulah Mat Sabu mengatakan bahawa pihak pasukan keselamatan yang terkorban serta Allahyarham Datuk Onn B Jaafar bekerja untuk British dan gerombolan komunis yang menentang pasukan keselamatan ltu sebagai nasionalis sejati kerana mahu membebaskan Tanah Melayu daripada British, alangkah naif, dangkal dan lemahnya pengkajian Mat Sabu.
Marilah kita imbas kembali apakah dia komunisme yang disanjung oleh Mat Sabu ini. Tidaklah perlu saya mengilmiahkan komunisme, cukuplah sekadar kita mengingat kembali tentang bagaimanakah keadaan hidup ketika di zaman komunis berkuasa. Berapa ramaikah rakyat Tanah Melayu yang dibunuh oleh mereka dengan begitu kejam sekali. Berapa ramaikah orang-orang kampung yang telah menjadi mangsa kekejaman mereka. Berapa banyakkah rumah dan harta benda rakyat yang telah dibakar oleh mereka? Yang paling tragis ialah berapa ramaikah perajurit tanah air serta pasukan keselamatan yang telah gugur kerana membebaskan negara kita dari anasir komunis yang zalim itu. Kalaulah komunis itu baik, mengapakah datuk nenek kita dahulu asyik bercerita tentang ketakutan mereka terhadap pengganas komunis? Ideologi komunisme tidak percaya wujudnya Tuhan dan menganggap semua harta individu adalah milik negara. Ini semua adalah contoh perbandingan yang paling mudah untuk kita menilai
komunis. Jadi bagaimanakah kita mahu meletakkan komunis sebagai pejuang nasionalis sebagaimana yang dilakukan oleh Mat Sabu? Apabila Mat Sabu memulakan sanjungannya terhadap komunisme maka berkoyong-koyonglah pengikut fanatik beliau mencari serta menunjukkan bukti tentang betapa benarnya ucapan Mat Sabu itu. Maka benang-benang yang basah pun ditegakkan serta fakta-fakta sonsang pun dikemukakan demi untuk mempertahankan seorang Timbalan Presiden PAS yang bernama Mat Sabu. Maka selepas ini akan wujudlah fakta-fakta sejarah yang baru bagi negara Malaysia. Fakta sejarah negara kini sudah boleh ditukar mengikut selera serta tafsiran kita sendiri. Hebatlah rakyat Malaysia..
Apakah kesannya jika golongan seperti Mat Sabu dan konco-konconya ini dibiarkan berbuat sesuka hati mereka? Dari segi akademiknya semua yang telah diajar oleh para guru berkaitan sejarah negara adalah tidak benar belaka. Para guru terutamanya guru matapelajaran Sejarah perlu dihantar berkursus semula bagi memperbetulkan semua fakta. Tidak lama lagi adalah tidak mustahil jika selepas ini ada fakta sejarah yang baru iaitu orang-orang Melayu sebenarnya adalah kaum pendatang dan orang-orang Cina adalah penduduk peribumi. Orang-orang Melayu adalah golongan imigran manakala kaum lain adalah penduduk asal. Jangan terkejut jika selepas ini akan ada pihak yang mengatakan bahawa kontrak sosial sebenarnya tidak wujud dan orang-orang Cina dan India adalah berhak untuk mendapatkan kerakyatan tanpa sebarang syarat.
Jika fakta sejarah boleh sewenang-wenangnya diubah, maka jangan terkejut jika pada suatu hari nanti adanya fakta yang menidakkan kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan Agama Islam adalah setara dengan agama-agama lain, penolakan kepada ketuanan Melayu serta penggunaan nama Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu adalah tidak sah! Jika kita mengambil kira kenyataan Mat Sabu bahawa banyak fakta sejarah yang akan "diperbetulkan" jika Pakatan Rakyat berjaya merampas Putrajaya, ia merupakan satu kenyataan yang amat merbahaya sekali. Saya melihat ia amat merbahaya kepada nasib bangsa Melayu dan agama Islam memandangkan orang seperti Mat Sabu mudah gelap mata dengan wang dan boleh dibeli pada bila-bila masa sahaja.
Ketamadunan sesebuah bangsa itu akan lenyap bukan kerana anasir luar tetapi sebenarnya adalah kerana perbuatan bangsanya sendiri..
Mukther Rizam Bin Ahmad
Ketua Penerangan
Perkasa Daerah LMS
29 Ogos, 2011
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.