Selasa, 30 Ogos 2011

KENAPA PERPADUAN UMAT MELAYU DI MALAYSIA HARI INI SEMAKIN LEMAH – 1PERSOALAN

Saya masih dapat membayangkan bagaimana zaman kanak-kanak saya, begitu bangga dengan kesepakatan dan kejituan orang-orang Melayu di era 70 an. Kehidupan saya di zaman kanak-kanak di Kg Jabi, Batu Kurau, Perak bukanlah sebuah kehidupan anak orang kaya. Saya hidup di dalam kesusahan dan kemiskinan kerana telah menjadi anak yatim ketika berumur 5 tahun iaitu pada tahun 1973. Namun saya merasa amat bangga menjadi orang Melayu. Era 80 an dan awal 90 an masih lagi membanggakan saya sebagai seorang Melayu. Itulah zaman di mana saya membesar di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir B Mohamed mantan Perdana Menteri.

Bukanlah saya menidakkan kebolehan serta keupayaan YBhg Tun Hj Abdullah B Hj Ahmad Badawi serta Y.A.B Dato' Seri Mohamed Najib B Tun Hj Abdul Razak sebagai mantan Perdana Menteri serta Perdana Menteri tetapi saya rasakan amat ada perbezaannya di antara ketiga-tiga zaman ini. Saya tidak memihak kepada mana-mana fahaman politik di dalam soal ini. Saya hanya membezakan bagaimana rasanya saya menjadi orang Melayu di bawah kepemimpinan ketiga-tiga negarawan ini. Saya mahu memfokuskan kepada kekuatan dan kemartabatan orang Melayu.

Timbul persoalan di fikiran saya kenapakah di zaman Tun Dr Mahathir B. Mohamed sebagai Perdana Menteri, orang-orang Melayu terlihat begitu kuat walaupun kita telah berpecah mengikut geografi politik ataupun fahaman politik masing-masing?. Malahan perkelahian politik orang-orang Melayu pada ketika itu juga sudah teruk dengan isu kafir-mengkafir, fatwa Haji Hadi, sembelihan orang Umno haram dimakan, solat dua imam serta bermacam-macam lagi. Pendek kata pada masa itupun boleh dikatakan orang-orang Umno dan PAS sudah tidak boleh bertemu muka. Tetapi saya merasakan orang-orang Melayu masih tidak sanggup untuk menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. Walaupun fahaman politik berbeza namun semangat nasionalisme Melayu masih kuat. Pada ketika itu DAP cukup dibenci oleh orang-orang Melayu.

Pihak pembangkang terutamanya PAS pun memang cukup tidak sukakan Tun Dr. Mahathir B Mohamed sebagai Perdana Menteri namun tidaklah ternampak sangat perpecahan orang-orang Melayu Islam sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Saya melihat sokongan orang-orang Melayu kepada Tun Dr Mahathir pun cukup kuat walaupun pelbagai tohmahan dan isu yang diciptakan untuk beliau. Apa yang tidak digelar kepada beliau – "Maha Firaun" satu gelaran yang cukup hina bagi saya. Kita tidak lupa kepada buku "Shit" karya Shahnon Ahmad yang cukup menghina Tun Dr Mahathir. Kita tidak lupa apabila Allahyarham Datuk Fadzil Noor bekas Presiden PAS mengatakan bahawa "Dr Mahathir akan nyanyuk dan bermain tahi sebelum dia meninggal". Semua ini adalah satu penghinaan yang amat menyedihkan saya sebagai anak Melayu. Saya amat sedih apabila orang Melayu menghina Perdana Menterinya sendiri. Saya merasa sedih kerana bangsa kita telah menghina seorang Negarawan yang bekerja kuat untuk agama, bangsa dan negaranya. Seorang pemimpin yang karektornya seperti seorang "Bapa". Kita menumpang tuah dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada beliau. Namun saya merasa tersentuh apabila bangsa lain begitu menyanjung tinggi Tun Dr. Mahathir B Mohamed. Puak dan juak-juak DAP pun tidaklah seteruk sekarang dan mereka masih kelihatan "berpada-pada" di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir. Orang-orang Melayu masih belum sampai ke satu tahap sanggup menggadaikan maruah agama, bangsa dan negaranya.

Zaman YBhg Tun Abdullah B Hj Ahmad Badawi (Pak Lah) pun saya lihat sebagai satu zaman yang penuh dengan kesederhanaan di mana Pak Lah seolah-lah mampu bertindak sebagai sebuah jambatan yang dapat menghubungkan semua orang Melayu untuk kembali bersatu. Kesederhanaan keperibadian Pak Lah menyebabkan kebanyakan orang Melayu yang berlainan ideologi politikpun masih boleh duduk semeja. Orang-orang Melayu masih belum sanggup untuk menggadai maruah agama, bangsa dan negaranya.


Saya tidak berniat untuk mebeda-bedakan keupayaan di antara pemimpin kita kerana semua pemimpin mempunyai gaya dan stail yang berbeza. Apatah lagi kebijaksanaan serta aura adalah pemberian Allah kepada seseorang sahaja. Namun untuk mengekalkan seorang pemimpin Melayu sebagai Perdana Menteri Malaysia pada masa hadapan adalah sesuatu yang telah menjadi tanda tanya. Kadangkala ianya amat membimbangkan jika kita soroti apa yang berlaku sekarang ini. Persoalannya sekarang ialah apakah ciri-ciri pemimpin Melayu yang perlu ada untuk memperbetulkan kembali "kecacamarbaan" kuasa dan politik Melayu.

Inilah 1Persoalan..saya rela dikritik di atas tulisan saya ini.

Mukther Rizam Bin Ahmad
Ketua Penerangan
Perkasa Daerah LMS
30 Ogos, 2011
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.