Sabtu, 17 September 2011

JANGAN TERLALU ASYIK MEMUJI MELAMBUNG-LAMBUNG PEMANSUHAN ISA

Secara peribadinya saya tidak seperti kebanyakan orang yang begitu mudah memberikan puji-pujian terhadap apa sahaja langkah yang dibuat oleh pemimpin negara kita terutamanya pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A) yang dimumkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B Dato Seri Mohd Najib. Saya melihat apabila sesuatu dibuat oleh pemimpin negara, maka berkoyong-kayanglah puji-pujian yang diberikan oleh para pemimpin lain dan juga media. Kadang-kadang saya melihat seolah-olah semuanya menjadi "Pak Turut" sahaja dan tiada langsung pandangan yang kontra diberikan untuk kebaikan. Adakah tidak berani memberikan pandangan kerana takut tergugat kedudukan?

Saya melihat bahawa I.S.A perlu diwujudkan lagi tetapi dengan melakukan beberapa penambaikan bagi memantapkan penggunaannya sesuai dengan perubahan masa. Selama ini I.S.A telah membuktikan bahawa ianya relevan untuk menjaga keamanan negara dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Bayangkan jika tanpa I.S.A, negara kita mungkin telah lama hancur akibat perbuatan subversif pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi saya kalau setakat memansuhkan I.S.A tetapi menggantikannya dengan akta yang lain yang lebih kurang sama peranannya tidak membawa apa-apa makna. Samalah seperti kita hanya menukar kulit atau bajunya sahaja. Kalau mahu memansuhkan I.S.A bermakna tidak ada akta lain yang perlu diwujudkan lagi..barulah bermakna pemansuhan itu.

Saya bimbang jika langkah ini tidak konsisten di mana akhirnya pihak kerajaan terpaksa mewujudkan semula I.S.A (atau dengan menggunakan satu nama baru) bagi mengekang aktiviti subversif yang akan menjadi semakin melampau kerana tiada apa yang perlu ditakutkan lagi. Sekarang ini pun sudah kelihatan bunga-bunga yang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak lagi "takut" kepada pihak kerajaan untuk melakukan aktiviti yang memudharatkan negara. Itu ketika I.S.A masih ada cuma takut untuk digunakan sahaja. Itupun kerana takut kehilangan populariti di saat-saat PRU-13 semakin menghampiri. Sebab itulah ada pihak yang langsung tidak takut untuk memakai baju t komunis yang berwarna merah, mengadakan perhimpunan haram Bersih 2.0. serta menyatakan sokongan secara terbuka kepada pihak komunis. Kenapa sebelum ini tidak berlaku sebegini?

Adanya I.S.A bukan bermakna pihak kerajaan akan menahan seseorang itu sewenang-wenangnya..Hanya kes-kes yang berat sahaja yang akan dikenakan akta tersebut. Itupun atas faktor keselamatan negara dan setelah melalui beberapa prosedur.

Dari segi logiknya pun, sesiapa yang melanggar peraturan dan undang-undang memang patut dikenakan tindakan. Tidak ada kebebasan yang 100% bebas. Kebebasan perlu ada hadnya. Jika semuanya perlu merujuk kepada hak asasi manusia serta kebebasan bersuara secara mutlak, maka tak perlulah mengadakan apa-apa undang-undang serta peraturan. Sudah tentulah ada sahaja yang dianggap sebagai menyekat hak dan kebebasan rakyat..rakyat bebas untuk berbuat apa sahajalah!
Jangan kita terkejut jika selepas pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh Perdana Menteri ini maka akan semakin melampaulah golongan tertentu. Jangan pula nanti pihak kerajaan terperangkap dengan langkah sendiri. Kalau sekarang inipun golongan ini begitu besar kepala serta tidak langsung takut kepada pelaksanaan undang-undang negara, apatah lagi selepas ini. Hanya orang yang suka melanggar peraturan dan undang-undang sahaja yang takut dan tidak suka kepada perlaksanaan undang-undang sebegini.

Saya melihat satu persatu hilang kini…

Mukther Rizam Bin Ahmad
Ketua Penerangan Perkasa
Daerah LMS
17 September, 2011
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.