Rabu, 7 September 2011

Mat Indera kejam terhadap bangsanya



MOHAMAD FIKRI ROSLY pengarang Utusan hari ini mengulas di mukasurat  7 mengenai Buku Pengukir Nama Johor telah mendedahkan sikap pemimpin komunis Melayu


JOHOR BAHRU 6 Sept. – Yayasan Warisan Johor (YWJ) menjelaskan terdapat satu lagi artikel dalam buku Pengukir Nama Johor berjudul Bajuri Haji Siraj, hasil kajian dan tulisan Sahgidon Dirhan yang menyifatkan Muhamad Indera sebagai pemimpin komunis Melayu yang melakukan kekejaman terhadap bangsanya sendiri.
Pengarahnya, Muhamad Fuad Radzuan berkata, buku tersebut merupakan hasil kajian penyelidik dan penulis individu walaupun mungkin boleh menimbulkan kontroversi dan terserah kepada masyarakat khususnya sejarawan untuk mentafsir dan menilainya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pentafsiran daripada golongan yang tidak arif dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat.
Katanya, ini kerana tujuan penerbitan keenam-enam buku berkenaan tokoh Johor adalah untuk mengumpul seberapa banyak maklumat tentang mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang dan bidang.
“YWJ pada dasarnya memberi kebebasan kepada para penyelidik dan penulis sejarah berkenaan mengemukakan hasil kajian dan penulisan masing-masing dalam bentuk karya akademik popular.
‘‘Dengan harapan, ia dapat merangsang penulis lain memperkembang maklumat yang terdapat di dalamnya supaya menjadi lebih komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada sidang akhbarnya semalam, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan ‘yakin’ mempertahankan kenyataannya bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.
Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku Pengukir Nama Johor pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera yang ditulis Ismail Adnan.
Jelas Muhamad Fuad, penerbitan kesemua buku melibatkan tokoh Johor ini adalah hasil daripada Projek Penyelidikan dan Penulisan Warisan Sejarah Johor (Pewaris).
‘‘Ia melibatkan penyelidikan sejarah asal usul tempat, kampung, bandar dan tokoh-tokoh negeri ini melalui kajian dan penulisan untuk diketahui dan dihayati masyarakat awam,’’ jelasnya.