Isnin, 28 November 2011

Isu setinggan KTMB: Ada setinggan sudah miliki tanah, kerajaan nafi kawasan penempatan semula tidak bernilai


Published On: Sun, Nov 27th, 2011











Kerajaan negeri mengenalpasti ada sebahagian kecil setinggan tanah rizab Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Taiping sudah memiliki tanah, sekaligus mereka ini tidak layak untuk mendapat lot tanah di bawah Rancangan Penempatan Tersusun (RPT).

Adun Kamunting, Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid, berkata kerja tanah di lokasi penempatan semula perlu dilaksanakan secara berkelompok, yang mana ini menjelaskan mengapa setinggan yang sudah membayar premium masih tidak dapat melihat tapak yang disediakan untuk mereka.

Kerja pecah tanah RPT Kurnia Jaya-Assam Kumbang akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Ia membabitkan kawasan seluas 60 hektar dan menyediakan 500 lot, bukan eksklusif untuk setinggan KTMB sahaja tetapi juga setinggan dari kawasan lain.

Daripada lebih 300 setinggan KTMB itu, 160 daripadanya sudah membuat permohonan dan menjelaskan bayaran.

“Dakwaan setinggan bahawa kawasan penempatan semula itu tidak bernilai, jauh dan terbiar adalah tidak betul kerana apabila Notis 5A dikeluarkan, tanah itu bernilai RM40,000,” katanya dipetik dalam slot Aduan Rakyat yang disiarkan stesen TV3, malam ini.

Mengulas lanjut, Zahir juga berkata, kerajaan negeri juga mengingatkan setinggan supaya jangan ghairah dan berniat untuk menjual tanah yang diperolehi untuk mendapat keuntungan.

Tindakan itu jelasnya, akan menafikan peluang setinggan lain yang memerlukan tapak tanah.

Sementara itu, Adun Trong, Datuk Rosli Husin pula berkata, dakwaan setinggan KTMB bahawa kawasan penempatan yang disediakan jauh di pedalaman dan tempat terbuang adalah fikiran negatif pihak yang mencari kesalahan yang bukan-bukan.

“Ini kerana di sebelah penempatan itu terletaknya perkampungan Kurnia Jaya dan penduduk di sana tidak merasa pula mereka terbuang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 30 setinggan miskin tegar terpilih menyertai projek penempatan rancangan tersusun (PPRT) menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, setinggan boleh menjelaskan bayaran premium dan ukur tanah apabila mereka mempunyai wang yang mencukupi.

Namun, mereka ini tetap disenaraikan sebagai setinggan sehingga permohonan tanah dan bayaran dikemukakan kepada Pejabat Tanah.

Pada 11 November lalu, Perak Today melaporkan masalah 339 setinggan KTMB di sekitar Taiping yang mendakwa menjadi mangsa putar-belit pegawai-pegawai kerajaan khususnya di Pejabat Tanah Daerah Larut Matang & Selama (Taiping) kerana masih gagal memiliki lot tanah seperti yang dijanjikan kepada mereka.

Episod duka bermula pada 2008 apabila penduduk diarah untuk mengosongkan tanah masing-masing dan KTMB telah membuat akuan janji dengan mengatakan akan menyediakan rumah mampu milik yang mana dahulu.

Mereka juga diberi pampasan berjumlah RM1,000 untuk berpindah dan sewa rumah berjumlah RM300 sebulan selama dua tahun sehingga rumah milik disiapkan seperti yang dinyatakan dalam surat akaun janji.

Selepas dua tahun berlalu, rumah yang dijanjikan tidak dapat disiapkan lagi dan KTMB akhirnya bersetuju melanjutkan tempoh bayaran sewa bulan kepada setahun lagi, iaitu sehingga Jun 2011.

Setiausaha Badan Bertindak Setinggan Taiping, Ismail Mohamad, 63, berkata selepas Jun, kerajaan negeri tampil menjelaskan bayaran sewa rumah penduduk sehingga September lalu.

“Mulai Oktober lalu, kami tidak menerima lagi bayaran duit sewa rumah daripada kerajan negeri dan janji kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk setinggan KTMB hanya tinggal janji kosong sahaja.

“Ke mana kami harus pergi apabila diarah keluar rumah kerana gagal membayar sewa rumah sedangkan lot tanah yang disediakan untuk rancangan penempatan tersusun (RPT) belum siap 100 peratus selain diragui dari segi jaminan keselamatan kerana terletak di kawasan berpaya dan bekas lombong,” katanya