Khamis, 9 Februari 2012
Perak perintis Sistem Penapisan Tebing Sungai di Malaysia
Uploaded by ThePerakToday on Feb 9, 2012
Perak muncul negeri perintis di Malaysia memperkenalkan teknologi baru dikenali Sistem Penapisan Tebing Sungai (RBF) dengan mengekstrak air bawah tanah sebagai usaha mempelbagaikan sumber air yang sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kaedah itu telah diperkenalkan sejak 1980an lagi di beberapa negara maju di Eropah, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Melalui sistem itu, kerajaan negeri katanya, dapat mempelbagaikan sumber air dan tidak hanya bergantung kepada air permukaan sahaja seperti sungai dan tasik, sekaligus menjamin perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
"Perak menjadi negeri perintis di Malaysia dalam meneroka sumber air bawah tanah yang menghasilkan air yang lebih bersih dan selamat untuk kegunaan harian.
"Lebih 100,000 penduduk sekitar Kuala Kangsar bakal mendapat manfaat daripada kemudahan ini yang membabitkan kira-kira 20,000 akaun pengguna," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek penapisan tebing sungai Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri, dekat Kuala Kangsar.
Hadir sama, Pengurus Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, LAP membelanjakan kira-kira RM4.5 juta untuk membangunkan projek berkenaan yang mengguna-pakai teknologi Korea.
Sebuah telaga akan dibina di tebing Sungai Perak untuk mengekstrak sumber air bawah tanah yang boleh didapati pada kedalaman 15 meter dari permukaan tanah.
"Apabila projek ini siap dalam tempoh enam bulan lagi, ia mampu membekalkan kira-kira 25 juta liter air sehari," katanya lagi.
Kerajaan negeri juga katanya, akan terus membuat kajian bagi mencari kawasan baru yang memiliki sumber air bawah tanah.
Beliau menegaskan, salah satu kawasan yang dikenalpasti ialah Daerah Batang Padang yang memiliki sumber air bawah tanah yang cukup banyak.
Sementara itu, Mohd Yusof, berkata telaga pengumpul jejari adalah kaedah pengambilan air tanah yang menggunakan radial collecter screen yang dipasang secara lateral di dalam telaga sebelum air tanah disalurkan ke loji rawatan air menggunakan pam.
Katanya, sumber air tanah akan masuk ke dalam telaga melalui radial collecter screen yang dikawal injap sebelum disalurka ke loji rawatan air berdekatan untuk dibekalkan kepada pengguna.
"Sistem ini dapat menjimatkan kos dan memudahkan proses rawatan serta menghasilkan air yang lebih berkualiti.
"Penjimatan kos rawatan adalah disebabkan sumber air mentah yang lebih berkualiti dari segi kekeruhan ini tidak memerlukan penggunaan bahan kimia untuk proses rawatan," katanya lagi.