Ahad, 25 Mac 2012

Email: Tabiat pekerja Malaysia khususnya Melayu

Kita ini banyak bercakap berdasar pendirian sendiri. Pendirian pula berlainan kualitinya sebab berlainan tahap pendidikan, pengalaman, perjalanan dan jumlah interaksi sesama manusia.

Jadinya saya sarankan kalau kita nak komen pasal Bangsa Melayu lebih tepat, lebih baik kita tengok DATA yang hampir FAKTA. Salah satu sumber terbaik nak tengok tabiat kaum Melayu ialah di Jabatan Sumber Manusia.

Jangan tanya yang kerajaan punya. Kita tanya para pegawai Jabatan Sumber Manusia di sektor swasta.

Ada 2 data yang boleh diperolehi daripada mereka:
  1. Tabiat kaum Melayu ketika diinterviu kerja oleh bakal majikan
  2. Tabiat kaum Melayu semasa bertugas

Tanya Pegawai Sumber Manusia. Saya rasa ada di antara sahabat-sahabat di sini yang bertugas di dalam Jabatan tersebut.
 
Komen mereka lebih tepat dari kita semua di sini, melainkan kita sebagai majikan.

Dalam pada itu, boleh dikatakan kita semua di sini mempunyai pekerjaan.

Tengok diri kita sendiri samada malas atau rajin. Kemudian tengok pula rakan-rakan setugas samada mereka malas atau rajin.

Biar saya yang terlebih dahulu mengkritik diri saya sendiri, ya.

Ketika saya bertugas dahulu, saya suka kepada kerajinan dan sangat suka melihat rakan-rakan saya yang kebanyakannya rajin bertugas. Ia mungkin datang dari suasana syarikat di mana budaya kami ialah :
  1. masing-masing ada KPI ( objektif yang boleh diukur )
  2. masing-masing mempunyai wawasan 
  3. masing-masing dipantau bos 

Ada ketikanya tiba saat tersangat malas walaupun badan tidak letih. Ketika itu, otak sesak dan tak boleh nak berfikir dah. Apa kami buat ialah berbual, berbual dan berbual walaupun kerja tak selesai. Kalau bos tanya kenapa, ada yang beri alasan dan ada yang nyatakan otak dah blank.

Syarikat itu bermula dengan 100 orang petugas sehingga menjadi hampir 800 orang semasa saya berhenti.

Itulah satu-satunya pengalaman saya bertugas dengan gaji bulanan di Malaysia selama 10 tahun. Selebihnya bertugas sebagai perunding untuk syarikat-syarikat Malaysia dan dari lain-lain negara.

Dalam pemerhatian saya ketika meninjau pejabat-pejabat, kilang-kilang dan kedai-kedai, jarang sekali saya lihat orang petugas Melayu dok melepak dan dok bergurau tak tentu pasal. Saya membuat tinjauan ketika mempunyai urusan dengan syarikat-syarikat Melayu tersebut.

Jangkaan saya, kemungkinan rajin atau malas sesuatu kaum adalah berdasarkan budaya di tempat pekerjaan dan budaya di rumah.

Menurut hukum dunia darul asbab, yang hampir pasti dapat menentukan keadaan seseorang itu ada 4:
  1.   Ada atau tidak wawasan di dalam dirinya
  2.   Dia menyediakan jalan ke arah wawasannya atau tidak
  3.   Sentiasa mencari peluang atau tidak
  4.   Sanggup mengatasi gangguan besar atau tidak

Kalau ada (1) tanpa (2) namanya Mat Jenin atau kaki temberang.

Kalau ada (1) dan (2) tanpa (3) namanya tak pandai berkawan atau akhlak buruk

Kalau ada (1), (2) dan (3) tanpa (4) namanya suka putus asa. Tuhan pun benci orang macam ini.

Yang TIADA (1), (2), (3) dan (4) barulah boleh diistiharkan dengan mohor raja-raja bahawa orang itu memanglah PEMALAS, tak kiralah Melayu, Cina ataupun India.

Marilah kita ukur diri sendiri.