Kesian, tentu budak ini trauma berpanjangan |
Pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal di hadapan rumahnya, di Bandar Perda, di sini, memohon maaf kepada keluarga mangsa di atas insiden yang berlaku.
Lelaki yang enggan namanya disiarkan itu berkata, dia kini menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan nasibnya, dan akan menerima apa jua keputusan yang bakal ditentukan kelak.
Menurutnya, di kesal dengan kejadian yang menimpa hingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan dan terpaksa ditahan di hospital.
“Saya dapat merasakan kesakitan ditanggung mangsa dan penderitaan yang dilalui ibu bapanya kerana saya juga merupakan seorang bapa. Tiada siapa mahu perkara seperti ini terjadi, begitu juga dengan saya, tambahan mangsa merupakan seorang anak kecil,” katanya.
Lelaki itu berkata, dia terkejut dengan insiden yang berlaku dan tidak tahu bagaimana haiwan itu boleh terlepas dari kurungan kerana dia sendiri tidak pernah melepaskan haiwan itu dari kurungannya sejak memeliharanya, kira-kira dua tahun lalu.
Justeru, dia menerima apa saja keputusan yang bakal diputuskan pihak berkuasa, dan menganggap itu sebagai takdir yang perlu dilaluinya.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Verterinar Pulau Pinang, Dr Johari A Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meletakkan anjing itu dalam pengawasan pihaknya selama sekurang-kurangnya 10 hari.
Menurutnya, ia bagi membolehkan pihak jabatan memantau keadaan anjing itu, jika taringnya mempunyai simptom anjing gila dan selepas itu barulah nasibnya akan ditentukan.
“Mengikut prosedur jabatan, anjing akan ditidurkan jika ia didapati boleh mendatang kan bahaya. Bagaimana pun, kita akan melihat dahulu perkembangan anjing ini sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian siaran 20 Mac lalu melaporkan Dhiya Qairina diserang anjing peliharaan jirannya yang terlepas dari kurungan, kira-kira jam 6.45 petang Ahad lalu, ketika dia sedang menunggang basikal di hadapan rumah.
Bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latif,47, yang ketika itu sedang membaiki kereta segera mendapatkan Dhiya yang tiba-tiba menjerit, dan terkejut mendapati seekor anjing sedang menyerang dan mencakar anaknya itu.
Dia yang panik cuba menghalau anjing itu, tetapi, tidak berjaya. Sebaliknya, anjing itu terus bertindak agresif mencakar anaknya hingga cedera di bahagian belakang dan punggung.
Muhammad Nur Akmal kemudiannya mengangkat basikal yang ditunggang anaknya sebelum itu bertujuan menakutkan anjing berkenaan, dan selepas itu baru ia melepaskan mangsa.
Satu laporan polis dibuat pada malam kejadian, dan polis kini sedang menyiasat mengenai insiden sebelum tindakan diambil.