Isnin, 19 Mac 2012

Serang Hakim… Anwar Patut Dikenakan Tindakan Menghina Mahkamah

KUALA LUMPUR, 6 Okt. – Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malik Ishak bersikap politik dalam penghakiman yang ditulisnya adalah satu penghinaan mahkamah, kata Penasihat Undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun.


Kenyataan tersebut dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar berhubung permohonan kali ketiganya agar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada terus mendengar prosiding kes liwat yang dihadapinya.

“Dari sudut perundangan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan ‘penghinaan Mahkamah’ (contempt of court) dan beliau tidak patut dibiarkan membuat tuduhan melulu apatah lagi menghina sebegini,” katanya.

Anwar telah menyatakan bahawa Datuk Abdul Malik Ishak bersifat menyerang dan menghina beliau selain menunjukkan sikap politik keterlaluan seorang hakim Mahkamah Rayuan walaupun kes terbabit masih berlangsung.

Antara lain, Anwar juga menyatakan bahawa terdapat campur tangan politik dalam kes terbabit.

“Dalam hal ini hakim patut dimaklumkan apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim katakan berkenaan beliau dan juga pihak pendakwaan perlu kemukakan notis usul bahawa telah berlakunya ‘penghinaan di hadapan mahkamah’ (contempt in the face of court).

“Mahkamah tidak boleh dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan kekecewaan kerana mahkamah adalah suatu institusi yang membentuk sistem demokrasi iaitu Eksekutif, Legislatif dan kehakiman,” tegas beliau.

Anwar sedang membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di Unit 11-5-1, Kondomonium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setia kasih, Bukit Damansara, di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pada 6 Jun lalu, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan ketiga Anwar agar beliau menarik diri sebagai hakim setelah mendapati alasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa beliau membuat pra-penghakiman dan berat sebelah dalam keputusannya di akhir kes pendakwaan, tidak mempunyai merit.