Isnin, 2 April 2012
Ini baru betul sembang seni karyawan, bukan macam Pas.
Bertempat di Koloni Karyawan Aman jaya (PORT), satu program dikenali Sembang Seni dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) yang mengupas tajuk ‘Perlukan campur tangan politik dalam seni? yang julung-julung kali diadakan tahun ini.
Tiga ahli panel dijemput untuk membahaskan tajuk itu terdiri Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan dan Penerbit Program TV9, Aziz Desa.
Memulakan perbincangan, ketiga-tiga panel tidak menafikan wujudnya campur tangan politik dalam seni di negara ini yang memberi kesan positif dan negatif.
Campur tangan politik dalam seni menyebabkan berlakunya konflik antara karyawan seni dan ahli politik yang masing-masing mempunyai tujuan atau sasaran berbeza untuk dicapai.
Menurut Awang, terdapat dua katogeri campur tangan politik dalam bidang seni iaitu politikus dan birokrat yang akan mempengaruhi perkembangan seni dan budaya negara ini.
Sebagai contoh, campur tangan politikus katanya, telah menyebabkan karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain iaitu Interlok diolah semula kerana didakwa menghina kaum India di Malaysia.
“Tindakan itu adalah satu penghinaan bukan sahaja kepada karya itu tetapi juga kepada penulisnya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pemimpin negara bersikap tegas dalam memperjuangkan dasar Perlembagaan Negara yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.
Bagi mencapai sasaran itu, DBP katanya, telah mengorak langkah dengan memperkenal kan sistem audit Bahasa Melayu di semua kementerian dan jabatan kerajaan baik di peringkat Pusat ataupun negeri.
“Dengan cara ini, kita dapat mengenal pasti kementerian atau jabatan mana yang mempraktikkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi sebelum laporan audit ini dihantar kepada pemimpin tertinggi negara.
“Kita bimbang Bahasa Melayu akan hanya tinggal nama jika pihak kerajaan tidak campur tangan dalam hal ini kerana dapat dilihat hanya beberapa kerat sahaja ahli politik yang lantang memperjuangkan isu ini,” katanya lagi.
Berbeza di Malaysia, masyarakat negara maju di Eropah dan Rusia kata Anwar begitu menekankan aspek seni dan budaya yang kemudiannya digunakan sebagai platform untuk membangun kan ekonomi negara.
“Industri kreatif negara sedang berkembang pesat dan karyawan seni yang terlibat dalam bidang animasi, lakon layar dan teater amat diperlukan kerana industri ini membabitkan nilai yang berbilion ringgit.
“Kita akui wujud campur tangan kerajaan dalam membantu melahirkan lebih ramai karyawan seni tetapi ia masih tidak mencukupi kerana tiada peruntukan khusus disediakan dalam bidang ini,” katanya.
Pernah bertugas sebagai Pengurus Media kepada bekas Menteri Besar Kedah, Aziz yang juga pengacara program Nasi Lemak Kopi O menegaskan rakyat perlu diberi penjelasan sewajarnya berhubung sesuatu isu yang mencetuskan konflik perkauman.
Ini katanya, perlu bagi memastikan rakyat faham di sebalik tindakan yang diambil pihak kerajaan bagi menjaga keharmonian dan kestabilan negara. Ketahui lebih lanjut dengan klik di SINI