Published on Apr 24, 2012 by umnohq
KUALA LUMPUR, 24 April - Demi untuk mengekalkan kuasa dan menarik pengundi ke perhimpunan Bersih pada minggu ini, Wakil Rakyat Lembah Pantai Nurul Izzah telah membuat satu tindakan drastik dengan mengedarkan surat kepada sebahagian pengundi di Lembah Pantai bahawa nama mereka telah dikeluarkan dari daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ujar Setiausaha Penyelaras BN Lembah Pantai, Datuk Haji Mohamad Sazali Kamilan.
"BN Lembah Pantai telah menerima aduan penduduk dari Flet Sri Pahang bahawa mereka mendapat surat dari Nurul Izzah yang memaklumkan nama mereka telah dikeluarkan dari daftar pemilih SPR terkini sedangkan nama mereka ada pada 2008, malah ada waris pengundi (pengundi telah meninggal dunia) turut menerima surat tersebut.
"Orang dan masyarakat Flet Sri Pahang ini bukan buta IT, mereka juga faham dengan status mereka sebagai pengundi kerana pihak SPR ini boleh dihubungi terus melalui telefon, boleh semak di internet dan terbaru, boleh semak status pengundi kita melalui system pesanan ringkas (sms)," katanya di sini.
Namun apa yang dikesalkan tegas beliau selepas disemak oleh pengundi tersebut, nama mereka masih lagi pengundi di Lembah Pantai sedangkan melalui surat yang diterima, nama mereka sudah dibuang dari daftar pemilih.
"Jika selama ini, YB Nurul Izzah selalu mengatakan terdapat pengundi hantu terutamanya di Lembah Pantai, apa yang kita nak istilahkan YB Lembah Pantai ini kita tak tahu, mungkin beliau adalah wakil rakyat Zombie.
"Kalau dia katakan ramai pengundi hantu di Lembah Pantai, kami pengundi Lembah Pantai ini pula istilahkan dia sebagai wakil rakyat Zombie yang bergerak untuk mengedarkan surat-surat seperti ini," ujarnya yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian Lembah Pantai.
Dalam masa yang sama, beliau maklumkan terdapat satu lagi surat yang sama, satu nama ini telah dibuang dari daftar pemilih. Sampai kepada waris kerana penama ini telah lama meninggal dunia.
"Jadi apabila waris ini menyemak, memang nama itu dah tidak ada dalam daftar pemilih SPR, dan apabila disemak dengan pihak SPR, memang orang yang telah meninggal, namanya akan dikeluarkan.
"Jadi apa yang dibuat oleh wakil rakyat Lembah Pantai ini bukan sahaja menghuru-harakan, tetapi juga mengelirukan dan juga secara tidak langsung, dia telah menghina SPR dan menghina keluarga si penama ini," ujarnya lagi.
Ini juga tambah beliau menunjukkan bahawa SPR telah membuat kerjanya, membuang nama-nama yang telah meninggal dunia dikeluarkan dalam daftar SPR tetapi di pihak Wakil Rakyat Lembah Pantai, mereka mengapi-apikan pula perkara ini.
Sehubungan dengan itu jelasnya, penama-penama yang telah menerima surat tersebut telah pun membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.
"Kita melihat perkara ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menimbulkan kemarahan, menimbulkan kekeliruan dan secara tidak langsung menagih simpati untuk meramaikan orang pada 28 April ini untuk perhimpunan Bersih. Itu taktik mereka.