Hasrat lebih 200 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat, Ipoh untuk belajar dalam suasana yang selesa akhirnya tercapai dengan bantuan kerajaan negeri.
Ketika ini, tapak sekolah berkenaan agak sempit dari segi keluasan dan tidak mampu lagi menampung jumlah murid yang semakin meningkat saban tahun.
Pengetua sekolah terbabit, P. Kamaladevi, berkata sudah sekian lama pihaknya berusaha untuk mendapatkan tapak baru yang lebih luas bagi tujuan pembinaan sekolah baru.
Justeru dengan bantuan dari kerajaan negeri, tapak tanah berhampiran kawasan Ampang yang berkeluasan 2 hektar telah diluluskan kerajaan negeri.
“Saya amat bersyukur dengan kelulusan tapak ini dan ia memberi sinar baru kepada guru-guru untuk lebih bersemangat dalam mendidik anak-anak selain dapat meningkatkan lagi keceriaan murid.
“Sebelum ini, kami telah banyak berusaha untuk mencari kawasan baru pembinaan sekolah dan lokasi tapak yang diberikan kerajaan negeri sangat-sangat strategik kerana ia berhampiran dengan deretan kedai serta laluan utama,” katanya.
Tegasnya lagi, apa yang diharapkan ialah kerja pembinaan dapat dilakukan dengan segera bagi memastikan lebih ramai murid kaum India dapat menimba ilmu di sekolah baru berkenaan.
Bagi pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Gunung Rapat pula, N. Periasamy pula menyatakan rasa kesyukurannya kerana akhirnya murid sekolah itu bakal menjalani proses pembelajaran yang lebih selesa.
Ini kerana katanya, bangunan sekolah sekarang terlalu kecil dan ia kelihatan seolah-olah menumpang di bangunan sekolah lain.
“Banyak masalah yang kita hadapi untuk mencari dan mendapatkan tapak yang sesuai untuk menjayakan projek ini.
“Syukurlah, hari ini kerajaan sudah meluluskan tanah seluas 2 hektar itu untuk kepentingan pembangunan murid India di sekitar Gunung Rapat,” katanya.
Dalam pada itu, Penasihat Menteri Besar dalam Hal Ehwal Kaum India, Datuk S Veerasingam ketika menyerahkan surat kelulusan tapak SJKT Gunung Rapat di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK), berkata kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan masyarakat kaum India apatah lagi berkaitan pendidikan.
Katanya, tapak baru sekolah berkenaan berhampiran utama dari Ampang ke Gunung Rapat merupakan kawasan yang paling stategik untuk tujuan komersial.
“Walaupun tapak itu mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi, kerajaan negeri tetap membuat keputusan untuk menjadikan ia sebagai tapak sekolah tersebut.
“Kita mahu ibu bapa, guru-guru dan para pelajar mendapat kemudahan dan keselesaan dalam segala hal sama ada untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran atau lain-lain,” katanya.
Tambah Veerasingam lagi, usaha pihak sekolah bersama-sama kerajaan negeri untuk mencari dan mendapatkan tapak baru sudah bermula sejal Mei tahun lalu.
Katanya lagi, sebelum ini beberapa tempat telah dikenalpasti untuk tujuan yang sama namun lokasi kerajaan mahu memberikan tempat yang paling baik untuk kemudahan semua pihak.
Justeru, dengan usaha kedua-dua pihak ditambahi dengan bantuan dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masalah itu dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
“Kita mahu sediakan tempat yang terbaik untuk sekolah ini, jadi saya minta tolong Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim sebab kita nak cari tempat yang di bawah kelolaan MBI.
“Jadi, saya bawa Datuk Bandar dan pihak sekolah serta PIBG di tapak tanah di Ampang, bagaimanapun ketika itu timbul sedikit masalah bahawa tanah berkenaan sudah diminta oleh pihak tertentu untuk membina sebuah taman permainan dan lain-lain.
“Masalah itu kemudiannya kita usulkan kepada kerajaan untuk selesaikan masalah yang dihadapi dan pada 13 Mei 2011, satu permohonan dibuat dan dibawa ke Pejabat Tanah,” katanya.
Selepas beberapa proses dilakukan, tambah Veerasinggam, akhirnya tapak tanah berkenaan mendapat kelulusan.