Saudara dan Saudari sekalian,
41. Sementelahan itu, apabila
ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu
sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah
menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat
terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam,
perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya
merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak
dahulu.
42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh
tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan
dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum
yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan
baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi ancaman
kepada perpaduan negara.
43. Sebab itulah, saudara dan saudari,
kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri
masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan
oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia
bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan
tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum
secara kolektif.
44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini,
ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat
perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak
bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai
dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.
45.
Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh,
sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi
keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar
pemimpin.
Saudara dan Saudari sekalian,