Jumaat, 12 Oktober 2012

JPA IKTIRAF PROGRAM KUISAS KUALA KANGSAR PERAK

Kerajaan negeri menangkis dakwaan pihak pembangkang yang baru-baru ini mendedahkan kepincangan dalam pengurusan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR).

 Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Kadir, mengesahkan bahawa setiap program pengajian di kolej itu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA). 

“Penandatangan pada setiap sijil yang dikeluarkan kolej ini mengikut peraturan dan peruntukan-peruntukan dalam undang-undang tubuh kolej ini.

“Semakan mengenai senarai pengiktirafan baru itu juga boleh dilakukan menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Malaysia,” jelasnya.

Mohammad Zahir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan PAS Perak yang mempertikaikan pengiktirafan sijil dan diploma KUISAS serta kesahihan tandatangan pada sijil transkrip yang dikeluarkan oleh kolej berkenaan.

Sementara itu, pihak kolej katanya, sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

Tindakan pembangkang itu katanya, hanya bermotifkan politik tanpa mengambil kira kesannya kepada ibu bapa serta pelajar yang menuntut di kolej berkenaan.

Mengulas lanjut, Enakmen KISDAR (Pindaan) 2009 katanya, telah memberi kuasa kepada lembaga untuk melantik seorang pegawai kolej secara bertulis bagi menjalankan tugas pendaftaran. Sehubungan itu, majlis mesyuarat kerajaan negeri pada Disember 2009 telah menjelaskan maksud ‘seorang pegawai kolej bertulis untuk menjalankan tugas berdaftar’ sebagai Timbalan Rektor Pentadbiran dan Kewangan telah mendapat perkenan Sultan Perak.

“Tiada langsung isu keraguan tentang pengiktirafan atau kelayakan graduan KUISAS bagi menyertai apa-apa atau mana-mana jawatan dalam perkhidmatan awam Malaysia,” ujar beliau.

Beliau berpendirian bahawa isu terbabit sengaja cuba dimainkan oleh pihak pembangkan yang cemburu dengan keberkesanan proses naik taraf kolej terbabit yang kini dinaiktaraf menjadi kolej universiti.

“Saya ingin menasihatkan pihak-pihak ini supaya membersihkan hati dari sifat mazmumah dan saya berdoa supaya Allah membuka pintu mereka untuk bertaubat daripada berterusan memfitnah, mensabotaj atau memburuk-burukkan nama kolej ini,” tambahnya lagi.

Zahir berkata, sejak ditubuhkan pada 1999, lebih 1,000 graduan berjaya dilahirkan oleh kolej berkenaan dan kini berjaya mendapat pekerjaan mengikut kelulusan masing-masing.

http://peraktoday.com/?p=90008