UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-63 TAHUN 2012
PADA 29 NOVEMBER 2012 (KHAMIS) 9.30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN MERDEKA PWTC, KUALA LUMPUR
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KEPIMPINAN TRANSFORMATIF MENUJU WAWASAN NASIONAL
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman,
Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah,
Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional,
Dif-dif Kehormat,
Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
MUKADDIMAH
Saudara dan Saudari sekalian,
1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
2. Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3. Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agung terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4. Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5. Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan.
6. Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharui mandat.
7. Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, Insya-Allah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmurkan ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
8. Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita akan kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya subuh 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9. Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke- 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional.
10. Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.
11. Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod tersebut, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.
12. Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.
13. Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat teramai.
14. Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan.
15. Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian dengan prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16. Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.