Umpama peribahasa telur di hujung tanduk. Begitu jugalah yang boleh digambarkan terhadap nasib parti pembangkang hari ini.
Sedar dengan laluan sukar yang terpaksa ditempuh mereka untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, pembangkang kini terpaksa bermain dengan pelbagai sandiwara politik demi memancing undi rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pendekatan yang dikenali sebagai "Perang Psikologi" akan digunakan pihak pembangkang bagi memastikan masih ada di kalangan rakyat terus memberi sokongan kepada kepimpinan parti tersebut.
"Strategi pertama (pembangkang) ialah mewar-warkan bahawa mereka akan berjaya menumbangkan kerajaan dan menang lebih banyak kerusi.
"Untuk strategi kedua pula, jika mereka (pembangkang) tahu bahawa mereka tidak akan menang, mereka tetap inginkan rakyat terus menyokong mereka agar pembangkang menjadi kuat," kata beliau.
Zambry berkata demikian sebagai mengulas ramalan pembangkang terhadap BN yang hanya mampu memenangi dua dari 24 buah kerusi Parlimen di Perak pada pilihan raya umum depan.
Tambah beliau lagi, strategi sama dilakukan oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) empat tahun lalu apabila berjaya merampas beberapa buah negeri.
"Strategi ini mereka gunakan di Pulau Pinang dan negeri lain dengan mengatakan bahawa mereka tidak berhasrat untuk memerintah dan hanya mahu jadi pembangkang," ujar Zambry yang menyatakan akhirnya rakyat terjerat dengan helah pembangkang apabila terus memberikan undi kepada mereka.
Selain dua strategi itu, pembangkang juga katanya, akan menggunakan modal kononya mereka layak diberi tempoh lima tahun memerintah negara dan sekiranya mereka gagal, rakyat berhak memilih kerajaan lain pula.
"Ini satu lagi strategi yang digunakan oleh pembangkang kerana mereka tahu dalam masa lima tahun, apa sahaja perkara boleh berlaku dan setelah banyak perkara dilaksanakan, akhirnya mereka tidak akan lepaskan (kuasa), " katanya lagi.
Tidak seperti Barisan Nasional, walaupun telah membawa kemajuan selama 55 tahun kepada rakyat Malaysia, para pemimpinnya beranggapan masih banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan, tambah Zambry.
"Ada beberapa kelemahan-kelemahan perlu kita perbaiki kerana tidak semestinya kita sebagai sebuah kerajaan kita sempurna walaupun telah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat," jelasnya.