Bagan Datoh: Calon parti politik diingatkan jangan mengaib dan menyerang peribadi lawan yang bertanding dalam PRU-13 kerana ia tindakan yang tidak bermaruah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat yang bakal membuat penentuan siapa calon yang layak dipilih sebagai wakil rakyat mereka tetapi bukannya melalui kegiatan memfitnah orang lain.
Tak mahu diaibkan
"Saya fikir parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang tentu sekali tidak mahu tokoh atau calon mereka diaibkan oleh sesiapa kerana ini bukan cara kempen yang bersih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Batu 20 di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, untuk mendapatkan sokongan rakyat bukan dengan cara melemparkan fitnah sebaliknya setiap parti harus menonjolkan manifesto pilihan raya untuk memancing undi.
"Jika seseorang itu mempunyai masalah peribadi atau sebagainya, biarlah pengundi yang menentukan, bukan dengan cara memburukkan peribadi calon itu.
Kempen secara sihat
"Kalau kita tidak mahu diaibkan oleh orang lain, kita janganlah cuba mengaibkan pihak lawan kerana perbuatan ini tidak digalakkan dalam Islam," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakan dalam BN dan pembangkang supaya melaksanakan kempen secara sihat untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU-13.
"Kita (BN) hanya memerlukan sokongan sekitar tujuh hingga 10 peratus pengundi atas pagar, oleh itu tidak perlu mempengaruhi pengundi dengan menyebarkan fitnah yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.