Dakwaan Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong kononnya hanya 19 peratus pelajar Cina yang mencatat Purata Penilaian Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 mendapat tawaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), adalah tidak benar.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan seramai 3,584 pelajar telah mendapat PNGK 4.0 dengan 47 peratus daripada jumlah itu adalah pelajar Bumiputera, 35 peratus pelajar Cina, 10 peratus pelajar India dan tujuh peratus lain-lain.
"Dari jumlah keseluruhan, 3,545 pelajar telah ditawarkan ke IPTA. Ini jelas menunjukkan 99 peratus pelajar yang mendapat PNGK 4.0 telah mendapat tawaran IPTA dan hanya 39 pelajar atau satu peratus yang tidak mendapat tawaran," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, kegagalan satu peratus itu adalah disebabkan faktor antaranya, tidak memenuhi syarat khusus program, unjuran tempat telah penuh terutamanya program kritikal, pelajar berada pada merit rendah dan pelajar membuat pernyataan 'TIDAK' sekiranya ditawarkan program selain yang dipohon.
Kementerian itu turut menafikan dakwaan Wee kononnya sistem meritokrasi yang diperkenalkan pada 2002 menggantikan sistem kuota adalah satu bentuk sistem kuota lebih buruk membawa kepada kemerosotan kemasukan pelajar bukan Melayu secara umum.
Menurut kenyataan itu, pengambilan pelajar berdasarkan meritokrasi adalah telus dan profesional dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum sebagai satu langkah menghasilkan graduan yang holistik.
"Mengikut prinsip meritokrasi, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, bangsa, keturunan, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal tidak akan dinafikan peluang mengikuti pengajian di IPTA," katanya.
Kementerian itu berkata pengambilan pelajar ke IPTA juga ada yang dilaksanakan menerusi proses temuduga, selain beberapa IPTA berstatus Universiti Penyelidikan yang diberi autonomi dalam pengurusan kemasukan pelajar.
Justeru, kementerian berharap 39 pelajar dengan PNGK 4.0 yang gagal mendapat tawaran IPTA, dapat membuat rayuan dengan kadar segera.
"Kementerian Pendidikan amat prihatin dengan masalah mereka, oleh itu kesemua 39 pelajar itu akan diberi keutamaan memasuki IPTA jika ada kekosongan selaras keputusan Jemaah Menteri," menurutnya. - Bernama