Selasa, 10 September 2013

Matlamat COMANGO Untuk Hapus Islam Sebagai Agama Rasmi

Gabungan NGO Malaysia telah mengadakan satu taklimat pada 11 Julai 2013 yang lalu bagi Proses UPR (COMANGO). Ia dipengerusikan oleh Tian Chua dan dihadiri oleh wakil-wakil NGO, antaranya Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam, SOGI atau Sexual Orientation and Gender Identity yang memperjuangkan LGBT, dan lain-lain lagi.

Malaysia bakal menjalani proses Semakan Berpenggal Sejagat (UPR) Majlis hak Asasi Manusia PBB pada 24 Oktober 2013 di Geneva, Switzerland. Proses ini akan menentukan tahap komitmen Malaysia terhadap Hak Asasi Manusia mengikut syor yang dikemukakan oleh Negara-negara PBB pada UPR pertama pada tahun 2009.

Secara dasarnya, Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan hak asasi manusia di tempat yang cukup tinggi. Hanya di Malaysia kita melihat semua agama mendapat ruang yang cukup besar dari segi pembangunan tempat ibadah. Hanya di Malaysia, kita melihat kaum minoriti diberi hak ke atas sekolah berasingan serta bebas mempunyai akhbar sendiri, mengamalkan bahasa ibunda masing-masing sehingga mengabaikan Bahasa Kebangsaan.

Hanya di Malaysia juga, kita melihat kaum minoriti 'berkuasa' menekan dan mencabar kaum majoriti, malah mengejek dan mempersenda kerajaan dan Raja-raja secara terbuka tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

Di Malaysia, masalah hak asasi sebenar seperti buruh kanak-kanak atau diskriminasi wanita dalam pendidikan dan pekerjaan, tidak menjadi isu langsung. Pendek kata, semua manusia 'normal' di Malaysia bebas mengamalkan hak masing-masing dengan batas-batas tertentu agar tidak melanggar perlembagaan dan juga hak asasi orang lain sesuai dengan ketamadunan manusia.

Justeru, meletakkan Malaysia di bawah pemantauan COMANGO merupakan sesuatu yang meragukan. Dan keraguan ini terjawab apabila melihat isu-isu yang ditimbulkan di dalam Deraf Laporan COMANGO.

Antara isu yang menjadi perhatian COMANGO ialah isu LGBT atau SOGI. COMANGO menuntut penghapusan seksyen 377A Kanun Kesiksaan dalam undang-undang Malaysia berhubung salah laku liwat serta menuntut hak dan kebebasan kepada golongan LGBTIQ.

COMANGO juga menuntut penghapusan peruntukan-peruntukan berkaitan kesalahan mengikut undang-undang syariah yang memberi rujukan negatif terhadap permasalahan moral yang dilihat sebagai 'hak peribadi' (Perkara 9.1 dan 9.5 DLC) yang timbul dari kedudukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memposisikan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Enakmen-enakmen berkaitan kesalahan-kesalahan Syariah.

Selain itu, dalam taklimat yang sama, COMANGO dilihat cuba memberi tekanan ke atas kes penggunaan nama 'Allah' oleh The Herald Weekly yang masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Secara ringkasnya, semua permasalahan yang dikemukakan oleh COMANGO adalah merupakan perkara-perkara yang berkaitan agama Islam. Ini memperlihatkan bahawa COMANGO sengaja mengenepikan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam di mana kedudukan Islam telah pun tertulis secara jelas di dalam perlembagaan.

Persoalannya, kenapa baru hari ini Malaysia perlu berhadapan dengan tuntutan-tuntutan sebegini? Jawapannya ialah kerana umat Islam di Malaysia semakin lemah sehingga membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mencabar dan menentang.

Keadaan menjadi sebegitu buruk apabila parti PAS yang merupakan pihak yang dahulunya paling 'keras' melaungkan Islam dan menentang sebarang bentuk keterbukaan kini turut bersekongkol dengan musuh-musuh Islam. Bagi memelihara 'pakatan' mereka, PAS telah menunjukkan sifat yang pasif dalam menentang usaha memurtadkan umat Islam dan berdolak dalih dalam mempertahankan kalimah 'Allah' dari disalahgunakan oleh bukan Islam.

Parti UMNO yang menjadi tonggak kerajaan bagaikan keseorangan dalam mempertahankan Islam di negara ini. Dalam keadaan di mana tekanan diterima dari seluruh pelusuk termasuk dari dalam barisan kerajaan sendiri akibat lantikan mereka-mereka yang mempunyai 'idea' yang terbuka mengenai Islam, maka pertahanan UMNO juga semakin goyah.

Melalui COMANGO, musuh-musuh Islam melancarkan serangan mereka untuk memastikan Malaysia tidak lagi menggunapakai undang-undang yang berteraskan Islam. Bagi mereka Islam adalah satu masalah besar dan perlu dihapuskan kerana ia tidak menepati citarasa mereka yang ingin mengamalkan kebebasan tanpa syarat dan had.

Umat Islam di Malaysia tidak mungkin dapat menahan asakan mereka selama-lamanya sekiranya kita terus berpecah belah. Oleh itu, PAS yang mewakili jumlah umat Islam yang signifikan di negara ini wajib meletakkan pendirian yang jelas dalam memilih untuk berada di pihak mana, iaitu sama ada bersama parti yang membela Islam yakni, UMNO, atau bersama parti yang tegar berjuang untuk menghapuskan Islam sebagai agama rasmi serta menyanjung pluralisme iaitu DAP dan PKR.

Selagi PAS bersama DAP dan PKR, selagi itulah PAS merupakan rakan subahat untuk menghancurkan Islam di negara ini.

Sesungguhnya, PAS tidak wajar menggunakan nama Islam jika ingin terus berpimpin tangan dengan DAP dan PKR tetapi di masa yang sama mengharapkan UMNO sendirian berhadapan dengan asakan COMANGO.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.