Sabtu, 14 September 2013

PAS KELANTAN TAK BUAT DEMO KER?

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengambil tindakan tegas dengan menyita barangan pemilik premis yang enggan membayar tunggakan cukai bandar dalam satu operasi di beberapa kawasan di sekitar bandar bermula minggu lalu.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, sehingga kini, operasi yang dijalankan melibatkan 51 premis dengan jumlah tunggakan cukai bandar kira-kira RM66,534.

Menurut beliau, operasi yang diketuai Inspektor Rahim Mat Hassan telah menjalankan operasi di seluruh kawasan di bawah kelolaan MPKB-BRI di sini.

"Setelah lima hari mengadakan operasi ini, sebanyak empat premis disita dan kita akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa.

"Antara barangan yang disita pada operasi tersebut adalah kelengkapan rumah seperti televisyen, mesin basuh serta barangan berkaitan yang menyamai jumlah tunggakan cukai bandar premis tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Fauzi berkata, dalam operasi kali ini, kira-kira 30 peratus daripada jumlah tunggakan cukai bandar tersebut telah dibayar oleh pemilik premis terbabit.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 premis dikeluarkan Tali Kuning oleh pihak MPKB-BRI kerana pemilik atau penyewa premis tersebut tiada di rumah semasa operasi dijalankan.

"Sebanyak 12 premis lagi dibayar oleh penyewa melalui perjanjian potong sewa iaitu sewa bulanan dipotong kepada MPKB-BRI sebanyak mana amaun tunggakan," katanya.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tampil menunaikan kewajipan membayar cukai bandar.

"Dengan cara ini juga, kita dapat menggalakkan mereka yang masih mempunyai tunggakan cukai bandar supaya segera membuat pembayaran sebelum tindakan tegas diambil," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan cukai bandar dan cara pembayarannya, boleh terus menghubungi bahagian cukai bandar MPKB-BRI menerusi talian 09-7402121.