Calon Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak takut untuk mengkritik syarat berkempen pada pemilihan Umno kali ini yang disifatkannya agak ketat kerana sayangkan parti.
"Adakah Umno tidak boleh bersuara? Parti apa tidak boleh bersuara? Saya sayangkan parti," katanya kepada pemberita selepas majlis sesi pengenalan calon anggota MT dan exco pergerakan tiga sayap Umno di Bangunan Umno Negeri di sini hari ini.
"Inilah dia seronoknya Umno, bila nak pemilihan kita boleh berjumpa kawan-kawan. Keluarga Umno ini besar seluruh negara. Saya cakapkan ini adalah pandangan dan rungutan daripada bawah," katanya.
Dua hari lepas Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan menyifatkan sebahagian peraturan dalam pemilihan Umno kali ini kurang bijak dan boleh membantutkan proses pemilihan.
Antara peraturan itu ialah calon tidak boleh berkempen secara bersendirian bagi bertemu dengan anggota akar umbi Umno dan memperkenalkan diri, katanya.
Mohamad berkata, sistem yang diperkenalkan itu sebenarnya bagus tetapi larangan dan syarat tertentu itu menyebabkan ia dikritik ramai calon.
"Tapi kalau tak boleh pergi sana, pergi sini dan tak dibenarkan untuk berjumpa cuma berjumpa macam ini saja susahlah lagipun sekarang ini pemilihan daripada akar umbi.
"Kalau kita tak pergi jumpa akar umbi macam mana dia nak kenal Mohamad bin Haji Hasan, orang Tumpat tak kenal saya. Ini tak beri peluang kepada calon," katanya.
Turut sependapat ialah calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mahukan syarat itu dilonggarkan bagi memberi ruang kepada calon untuk bertemu perwakilan di peringkat akar umbi.
"Walaupun tidak dikenali tetapi ada sesuatu yang calon nak sumbang kepada parti. Kalau tidak takkan dia nak tampil menawarkan diri bertanding.
Itu sebabnya saya rasa kalau bolehlah dibenarkan perjumpaan ini," kata Menteri Besar Kedah itu.
Seorang lagi calon MT, Datuk Azman Shah Omar Shah berkata calon baharu sepertinya perlu diberikan lebih ruang untuk bertemu perwakilan bagi menjelaskan matlamatnya untuk bertanding.
"Kalau menteri umpamanya semua orang kenal tetapi tidak orang seperti saya," katanya.
Beliau juga mencadangkan ketika sesi pengenalan calon, perlu dinyatakan sekali biodata calon yang bertanding pada skrin setiap kali nama diumumkan bagi memudahkan perwakilan mengenali mereka.
Calon exco Puteri Umno, Syakima Nur Sabri turut bersetuju dan menganggap ia sebagai langkah bijak jika larangan itu dilonggarkan.
Beliau yakin jika kelonggaran itu diberikan, calon tidak akan menyalahgunakan peluang sedemikian seperti terbabit politik wang dan sebagainya. -Bernama