Ahad, 3 November 2013

Masjid dijadikan alat menyebarkan kebencian dalam masyarakat

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengarahkan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) agar mengambil tindakan terhadap beberapa masjid yang menyalahgunakan khutbah Jumaat semalam untuk menyebarkan politik kebencian dalam kalangan masyarakat.

Mukhriz berkata, beberapa masjid telah dikesan membenarkan khatib dari luar Kedah untuk menyampaikan khutbah berbau politik dan boleh menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Menurut beliau perbuatan mencemarkan masjid itu juga melanggar titah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah semasa Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ogos lalu, yang mengesa agar masjid digunakan sebagai tempat menyebarkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Sebab itu dua minggu sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau satu peringatan telah dikeluarkan kepada masjid-masjid di daerah ini untuk mengingatkan mereka terhadap titah Tuanku yang jelas maksudnya.

"Saya sendiri telah mengarahkan MAIK untuk tidak lagi memberi amaran tetapi mengambil tindakan.

"Kalau kita tengok ada poster dan banner yang diletakkan di sekitar Sungai Limau menjemput rakyat ke ceramah politik di dalam perkarangan masjid dan ini saya mahu nyatakan dengan tegas, ini tidak langsung dibenarkan," kata Mukhriz.

Mukhriz yang ditemui dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau berkata, ada pihak akan membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Jelas beliau, tindakan tegas itu perlu diambil kerana mahu memastikan keamanan rakyat di negeri ini dipelihara.

"Kita tidak fikir pilihan raya kecil tetapi masa depan rakyat negeri Kedah ini yang aman.

"Saya tidak mahu orang-orang luar ini datang beri tazkirah, khutbah yang memecahbelahkan masyarakat kerana mereka ini akhirnya akan keluar selepas PRK selesai dan meninggalkan penduduk tempatan yang hubungan mereka menjadi renggang," kata Mukhriz. - UTUSAN ONLINE

TM NOTE
Hari berita yang diterima seorang kakitangan Jabatan Agama Islam dari Perak telah berkempen untuk kemenangan Pas di sebuah surau di Sg Limau.