Sabtu, 7 Disember 2013
Cyber cafee judi kuda adalah barah dalam komuniti Melayu
Sebanyak 96 unit komputer yang digunakan untuk kegiatan judi internet berjaya dirampas dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh polis di tiga premis kafe siber di sekitar daerah Port Dickson malam tadi.
Operasi yang bermula pukul 8.45 malam hingga 12.30 tengah malam itu melibatkan dua premis di pekan Linggi dan sebuah di Taman Orkid Jalan Pintasan Port Dickson.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, ketika serbuan dijalankan terdapat 36 pelanggan berusia daripada 19 hingga 61 tahun sedang leka bermain judi.
"Kesemua mereka merupakan penduduk tempatan yang berasal dari dari daerah ini malah terdapat juga pelanggan dari Lubok China, Melaka.
"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM958 yang digunakan sebagai wang taruhan bagi kegiatan ini di ketiga-tiga premis yang diserbu," katanya.
Menurut Abd. Wahab, ketiga-tiga premis yang diserbu itu dipercayai menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa bulan lalu sebelum aktiviti mereka dihidu oleh polis hasil risikan di pusat siber itu.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke stor simpanan barangan kes bagi tujuan pendakwaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.
Bagi menyekat kegiatan judi siber ini kata beliau polis akan mengguna pakai Seksyen 21A akta yang sama bagi meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis tersebut.
NOTA KAKI NOTA LUTUT
Isu judi komputer menjadi barah dalam masyarakat Melayu, kebanyakannya berpusat di kawasan taman perumahan. Sebagai contoh di Taiping, hasil tinjauan kami tahun lepas, mendapati tidak kurang 50 buah kedai cyber caffe yang menjadi pusat judi kuda. Untuk mengenal pusat cyber judi ini cukup mudah, ia beroperasi tanpa sebarang papan tanda, keluli penutup pintu biasa akan di ubah suai menjadi pintu kecil. Cctv dan jaga akan mengawasi dari luar premis, kebanyakan jaga adalah warga bangla.
Premis judi ini sukar dihapuskan kerana ada taikotai dari penjawat awam yang menerima wang habuan, manakan tidak jika petang dibuat serbuan, malam jam 9.00 barang rampasan di kembalikan.
Oleh itu cara terbaik untuk membendung masalah ini ialah satu tindakan bersepadu wajib diambil. Setiap kali serbuan mesti ada TNB, Syarikat bekalan air, PBT, SPRM dan lain-lain jabatan jika perlu.
Malam tadi seorang rakan memaklumkan terdapat lebih kurang 9 buah premis beroperasi di blok A dan blok B, apartmen Flora Damansara, Damansara Perdana. Beliau memaklumkan bahawa raid pernah dibuat tetapi pada malamnya semua barang rampasan di kembalikan semula dan terus beroperasi seperti biasa.