Sabtu, 7 Disember 2013

Ganasnya pengikut tuhan harun

Polis menemui petunjuk baharu dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik pada bulan lalu, yang mendapati kumpulan pengikut Tuhan Harun turut merancang untuk membunuh beberapa individu lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya yakin kumpulan terbabit mempunyai perancangan sedemikian hasil penangkapan sejumlah pengikut ajaran sesat itu termasuk kes penangkapan terbaharu di Semporna Sabah, pada Ahad lalu.

Menurutnya, dalam tengkapan di Sabah itu, dua orang pengikut ajaran Tuhan Harun berjaya diberkas, manakala lapan lagi anggota kumpulan terbabit sedang giat diburu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut siapa individu-individu terbabit yang dijadikan sasaran kumpulan berkenaan.

"Setakat ini daripada 10 orang yang dikehendaki, dua orang berjaya ditangkap di Sabah pada Ahad lalu, manakala lapan lagi sedang diburu. Pada masa sama, tawaran kita untuk mereka serah diri masih terbuka.

"Kita dapati siasatan kita ini ada yang menarik, kita dapat kesan kumpulan ini, selain mereka merancang dan telah lakukan pembunuhan ke atas penguat kuasa JAIP, mereka juga rancang untuk bunuh beberapa orang lagi.

"Alhamdulillah, dengan penangkapan mereka ini (pengikut Tuhan Harun), dapat kita buat dan berjaya patahkan rancangan mereka seterusnya (lakukan pembunuhan lagi)," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perisytiharan Pasukan Simpanan persekutuan (PSP) sebagai formasi Sempena Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan PSP ke-58 di Pangkalan PSP Unit 6 di Wakaf Tapai, dekat sini hari ini.

Majlis itu turuh dihadiri Komander PSP, Datuk Abdul Hamid Mohd. Ali; Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Jamsyah Mustapa serta para pegawai kanan polis.

Khalid berkata, hasil siasatan juga mendapati kumpulan terbabit akan melakukan apa sahaja termasuk sanggup membunuh sesiapa yang cuba menghalang aktiviti mereka.

Ketika ditanya mengenai baki pengikut kumpulan itu yang berjaya melepaskan diri, Khalid berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha memburu mereka dan beliau yakin, kesemua anggota kumpulan itu akan berjaya ditangkap.

"Dua orang yang berjaya ditangkap di Semporna, Sabah pada Ahad lalu, mungkin mereka sampai sana nak lari ke Indonesia. Macam saya selalu sebut lah, sepandai-pandai tupai (melompat) akan jatuh ke tanah juga, sepandai-pandai tikus elak jerat tapi jerat tak pernah lupakan tikus, suatu masa kita akan dapat (tangkap)," tambahnya.

Dalam kejadian pada 10 November lalu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki berjubah hitam dan berkopiah di hadap rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.