Tuduhan pihak pembangkang melalui kenyataan media Edy Noor Reduan, Pengarah Propaganda, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bahawa Pulau Batu Puteh tergadai kerana rasuah wajar diberi perhatian serius.
Memandangkan Edy bercakap atas kapasiti Pengarah Propaganda, maka kenyataan beliau dengan sendirinya bolehlah dianggap sebagai propaganda iaitu tidak semestinya benar dan hanya dibuat bagi menimbulkan kekecohan. Kenyataan beliau adalah bersandarkan sebuah Akuan Bersumpah oleh Bekas Ketua Siasatan Jenayah PDRM, Mat Zain Ibrahim.
Menurut Akuan Bersumpah tersebut, Mat Zain menyatakan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abd. Gani Patail telah dengan sengaja menyebabkan kekalahan kes Pulau Batu Puteh kepada Singapura ketika prosiding Mahkamah Keadilan Antara bangsa (ICJ). Kononnya, ia berlaku atas perlakuan rasuah melalui pemindahan wang dalam jumlah yang besar ke Hong Kong sejurus selepas Malaysia kalah dalam tuntutan Pulau Batu Puteh.
Apa yang Edy tidak tahu ialah keputusan yang dibuat oleh ICJ adalah bersifat menang-menang iaitu Malaysia telah mendapat Batu Tengah sementara Singapura mendapat Batu Puteh. Oleh itu, tidak logik sama sekali bagi sesiapa untuk menerima atau memberi rasuah dalam kes di mana kedua-dua pihak telah menang.
Duta Malaysia ke Netherlands pada ketika kes berlangsung, iaitu Datuk Noor Farida Ariffin turut terkejut dengan dakwaan rasuah yang dibuat oleh pihak pembangkang dan menganggapnya sebagai tuduhan liar yang langsung tidak berasas dan dibuat oleh pihak yang tidak punya apa-apa pengetahuan mengenai kes tersebut.
Beliau menyifatkan tuduhan Mohd Zain bahawa Malaysia telah menghantar gambar pulau yang salah sebagai antara faktor yang menyebabkan kekalahan tuntutan tersebut di mahkamah. Malah, Noor Farida juga menjelaskan bahawa Abdul Gani bukanlah pihak yang mengetuai kes itu di ICJ tetapi Tan Sri Abd. Kadir Mohamad, atas kapasiti Wisma Putra.
Pasukan yang terlibat adalah terdiri dari semua jabatan kerajaan yang terlibat termasuk sekumpulan peguam dari luar negara selain Peguam Negara sendiri.
Segala keputusan yang dibuat adalah secara berkumpulan dan hujah-hujah yang dikemukakan juga telah terlebih dahulu di persetujui oleh semua. Justeru, tiada ruang bagi Abd. Gani atau sesiapa sahaja untuk terlibat di dalam rasuah dalam kes ini.
Nampaknya, Edy dan Mohd Zain sendiri telah melampaui batas dalam berpropaganda. Fitnah seperti ini adalah keterlaluan, sekali gus membuktikan betapa SAMM tidak punya kredibiliti ataupun integriti dalam perjuangan.
Mungkin Datuk Abd. Gani wajar ‘mengajar’ anak-anak muda ini agar lebih bertanggung jawab dalam membuat kenyataan di masa depan. Jika tidak, pastinya ada rakyat yang akan terpedaya dengan fitnah mereka yang keterlaluan itu.