The Heat bukanlah sebuah akhbar popular malah ramai yang tidak pernah mendengar mengenainya sebelum ini. Namun, penggantungannya dijadikan isu besar oleh golongan ini hanya kerana antara percetakan terakhir akhbar tersebut merupakan kritikan terhadap isteri Perdana Menteri.
Jelas, yang ingin dijadikan isu di sini bukan soal penggantungan The Heat tetapi soal apa yang dicetak oleh akhbar itu. Tujuan mereka dengan terus memperkatakan mengenai penggantungan The Heat ialah agar dapat memburukkan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia secara lebih 'meluas'.
Sebenarnya, kebebasan media di Malaysia bukanlah satu perkara yang perlu diperdebatkan.
Kewujudan akhbar-akhbar fitnah dan sampah atas nama 'pembangkang'yang bersepah dijual sudah cukup untuk membuktikan bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan media sewajarnya. Malah, tidak salah jika dikatakan bahawa media Malaysia telah dibiarkan 'terlalu bebas' sehingga berani menyebarkan hasutan dengan sewenang-wenangnya terutamanya melalui akhbar berbahasa Cina.
Lebih dari itu, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberi kebebasan kepada akhbar Cina untuk duduk sama taraf dengan akhbar perdana.
Selama ini juga, akhbar-akhbar berbahasa Cina dan juga akhbar milik pembangkang adalah bebas untuk menyindir, mengkritik, mengecam atau mengutuk Perdana Menteri Malaysia dan juga kerajaan sama ada secara halus, lantang, tersurat mahupun tersirat tanpa diambil apa-apa tindakan.
Tidak cukup dengan tulisan, pihak yang sama juga menjadikan kutukan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia sebagai makanan harian, perisian rohani dan jasmani di mana-mana saja sama ada di dalam atau di luar negeri.
Jika kerajaan tidak pernah peduli dengan mereka ini, maka kenapa pula kerajaan perlu merasa 'panas' dengan The Heat seperti yang dicanangkan pembangkang?
Logiknya, jika mereka yang menyebarkan fitnah Altantuya atau cincin berjuta milik Datin Seri Rosmah masih terus hidup, bebas dan merdeka, maka kenapa pula The Heat harus digantung hanya kerana mengkritik personaliti yang sama?
Hakikatnya, The Heat bukan digantung kerana apa yang dicetaknya tetapi kerana melanggar undang-undang. Walaupun begitu, kita bersetuju jika kerajaan bertegas menghukum media yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan hasutan sesuka hati.
Mungkin dalam soal ini, kerajaan perlu mencontohi pembangkang yang sering membelakangkan hak kebebasan media sekiranya media itu melaporkan sebarang keburukan parti mereka. Bukan rakyat Malaysia tidak biasa dengan seruan boikot Utusan Malaysia atau TV3 oleh pembangkang. Kita juga biasa melihat pembangkang membuat 'demo' membakar akhbar yang 'dimusuhi' mereka.
Pembangkang sering mengugut untuk menyaman mana-mana media yang melaporkan keburukan mereka.
Jangankan melaporkan keburukan pembangkang, bertanyakan soalan juga tidak dibenarkan. Itulah yang berlaku apabila Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berhadapan dengan wartawan di mana beliau mengugut untuk menyaman wartawan sekiranya mereka mengulangi soalan yang tidak mampu dijawabnya.
Pembangkang telah biasa menyeru penyokong mereka agar jangan membaca akhbar yang bukan merupakan pro kepada perjuangan mereka sedangkan kerajaan tidak pernah menghalang rakyat untuk membaca apa saja.
Justeru, melihat dari cara pembangkang menangani isu The Heat membuat kita semakin muak dengan parti itu. Hipokrasi pembangkang nampaknya tiada batasan.
Pesan kita, sekiranya ingin berpolitik pun, janganlah melanggar undang-undang. Bagaimana kita boleh membayangkan pembangkang sebagai pemerintah jika sering menyokong dan melakukan perkara yang melanggar undang-undang?
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.