Seorang peguam, Edmund Bon, semalam, telah membuat kenyataan di portal Malaysian Insider bahawa bukan Islam tidak perlu patuh kepada Yang di-Pertuan Agong. Alasan beliau, titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kalimah 'Allah' merupakan hak ekslusif umat Islam, adalah sebuah fatwa, yang mana hanya terpakai ke atas orang-orang Islam serta tidak melibatkan bukan Islam.
Kita ingin membantah hujah Edmund Bon yang amat dangkal lagi tidak berpijak di bumi nyata.
Yang di-Pertuan Agong sebenarnya telah bertitah atas kapasiti baginda sebagai Ketua Negara dan bukannya Ketua Agama Islam semata-mata. Sebuah fatwa perlu melalui Majlis Fatwa dan ianya haruslah berkaitan amal ibadah atau hal-ehwal perundangan syariah yang melibatkan umat Islam.
Berdasarkan hakikat ini, maka titah Yang di-Pertuan Agong tersebut ternyata bukanlah berkenaan hal ehwal ibadah umat Islam semata-mata tetapi berkenaan sekalian rakyat serta bersandarkan undang-undang dan juga keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan negara.
Justeru, adalah salah menyatakan bahawa titah baginda adalah fatwa. Sebaliknya, ia adalah perintah kepada seluruh rakyat jelata agar akur dengan undang-undang negeri yang menetapkan bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.
Tindakan Edmund Bon mempertikai dan merendah-rendahkan titah murni Yang di-Pertuan Agong adalah jelas berupa hasutan di mana beliau dilihat sengaja membangkitkan rasa tidak hormat kepada Institusi diRaja negara ini.
Edmund Bon cuba meletakkan garis pemisah antara orang-orang Melayu dengan bukan Melayu dengan menggambarkan seolah-olah bukan Melayu tidak perlu hormat kepada Sultan dan Raja-raja mahupun Yang di-Pertuan Agong. Dalam kata lain, Edmund Bon memberitahu warga bukan Melayu bahawa mereka tidak terikat dengan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan yang digunapakai di negara ini.
Sekiranya Edmund Bon merupakan seorang warga Thailand yang menghina Raja mereka, tentu sekali beliau akan dikenakan hukuman berat. Namun, di Malaysia nampaknya undang-undang kita begitu longgar kerana sehingga kini Edmund masih bebas berkeliaran menghasut rakyat jelata agar tidak menghormati Sultan.
Tindakan Edmund Bon bukan sahaja derhaka, tetapi juga merbahaya selain melanggar undang-undang di bawah Akta Hasutan.
Selama ini, warganegara Malaysia dari kalangan bukan Melayu sering menepis tuduhan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak setia pada negara ini.
Namun, apa yang dilakukan oleh Edmund Bon memberikan asas dan alasan kukuh kepada orang-orang Melayu untuk terus mempertikai kesetiaan kaum bukan Melayu terhadap negara. Terserlah kini bahawa sememangnya ramai di kalangan kaum bukan Melayu yang enggan menerima dan menghayati aspirasi negara serta sentiasa menentang sistem dan perlembagaannya.
Bagi mereka ini, apa yang tertulis dalam Rukunegara iaitu 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' langsung tidak bermakna apa-apa. Malah, tidak mustahil mereka langsung tidak tahu apa itu Rukunegara. Ini dengan sendirinya menunjukkan betapa lemahnya struktur negara ini.
Rakyat yang tidak berpegang kepada Rukunegara tidak layak mengaku sebagai warganegara. Seharusnya Edmund Bon dan sesiapa sahaja yang setuju dengan beliau, dilucutkan saja kewarganegaraan. Sudah sampai masanya orang seperti Edmund Bon dikenakan tindakan.
Malaysia tidak memerlukan rakyat yang derhaka dan tidak setia. Negara ini pastinya sukar untuk dimajukan selagi penghasut dan penderhaka ini wujud dan bebas menentang dan mempertikai undang-undang dan titah baginda Sultan.
Rakyat Malaysia perlu dididik agar kembali kepada Rukunegara sebelum kita mampu bangun menjadi negara dunia pertama sepertimana yang dicita-citakan. Rakyat perlu disatukan di bawah payung dan aspirasi yang sama, dengan semangat patriotisme yang jitu sebelum kita mampu mengorak langkah pasti ke destinasi yang diinginkan.
Jika tidak, percayalah bahawa Malaysia tidak akan ke mana-mana dan hampir pasti akan hancur jua.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.