Jumaat, 8 Ogos 2014

MB Perak mula bersuara terhadap projek yang lambat siap.


Kerajaan BN Perak telah melahirkan rasa kurang puas hati terhadap projek yang lambat dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Secara tidak langsung ia menyatakan kurang senang terhadap semua jentera pelaksana atas kelewatan pembangunan prasarana yang telah diluluskan oleh perbendaharaan negeri dan Persekutuan.

Sesuatu projek hanya akan dibuat jika ada wang, ini bermakna kerja boleh dimulakan. Tak kurang juga cadangan projek tidak dapat dilaksanakan kerana tiada bajet, tetapi bila bajet sudah ada ia perlu disegerakan. Bertangguh bererti kerajaan kena tanggung kos kenaikan.

Salah satu contoh ialah projek jalan kampung, perparitan, tebatan dan cegah banjir di sebuah kampung di Kamunting. Projek yang diluluskan dengan nilai RM 12 juta telah mengalami kelewatan dan kemudiannya bajet dikurangkan kepada RM10.4 juta dan sepatutnya bermula Mei lepas tetapi sehingga kini masih belum berjalan sepenuhnya.  Yang kelihatan jelas ialah sebuah rumah pam, lain-lain belum kelihatan lagi.

Oleh itu kerajaan negeri hari ini menubuhkan satu jawatankuasa pemantauan yang bertujuan memperkemas serta mempercepatkan proses pelaksanaan semua projek dan dasar yang telah ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, jawatankuasa tersebut juga berperanan untuk melihat sejauh mana perkembangan projek serta dasar kerajaan negeri telah pun dilaksanakan.

"Penekanan utama yang kami putuskan ialah memastikan pelaksana dasar iaitu kakitangan kerajaan perlu memastikan segala perancangan dan projek hendaklah disegerakan.

"Terdapat beberapa perkara perlu disegerakan, umpamanya ada projek yang boleh disiapkan dalam masa beberapa minggu sahaja sekiranya ada pemantauan. Kalau tiada, dibimbangi projek itu mengambil masa yang lama untuk siap, malah boleh mencecah sehingga dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, kerajaan negeri serius berhubung isu berkenaan memandangkan ada beberapa projek membabitkan kepentingan rakyat lewat daripada aspek pelaksanaannya.

Katanya, walaupun kes seumpama itu tidak banyak tetapi kerajaan negeri tidak berkompromi dengan kelewatan projek dilaksana meskipun telah diluluskan lebih-lebih lagi berkaitan dengan infrastruktur kepada rakyat.

"Mesyuarat pada hari ini telah memutuskan supaya mana-mana jabatan yang didapati tidak dapat melaksanakan serta menyempurnakan projek untuk kepentingan awam dipanggil bagi memberi sebab kelewatan.

"Mungkin ada faktor tertentu membabitkan pihak kontraktor yang dilantik sehingga menyebabkan projek terutamanya berkaitan dengan kepentingan awam lewat dilaksanakan. Kerajaan negeri mahu tahu," jelas beliau.