Jumaat, 5 Disember 2014

Majlis Peguam Guna Cara Kuno Untuk Pilih Ahli Jawatankuasa



Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, Jefree Zain Affendi berkata, sistem yang digunakan untuk pemilihan ahli jawatankuasa majlis peguam baru-baru ini adalah cara kuno yang membuka ruang yang luas untuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Menurut beliau, sistem pemilihan majlis peguam amat diragui dan tidak menepati ciri-ciri ketelusan dan membuka ruang yang luas kepada sebarang kemungkinan penyelewengan untuk berlaku.

“Kertas undi dihantar melalui pos kepada semua ahli-ahli Majlis peguam. Cara begini adalah cara kuno dan membuka ruang yang luas kepada penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa dengan sistem dan proses pemilihan sebegini.

“Malah ramai juga ahli majlis peguam yang langsung tidak ambil peduli dengan kertas balot yang dihantar kepada mereka,” tegas beliau kepada UMNO-Online ketika diminta mengulas berhubung pemilihan majlis peguam baru-baru ini.

Tambah beliau lagi yang juga seorang peguam, dalam proses pengiraan undi pula, calon-calon hanya ditempatkan dalam satu bilik di mana mereka hanya boleh menyaksikan pengiraan undi hanya melalui kamera litar.

“Mengapa calon-calon yang bertanding tidak boleh menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri pengiraan undi tersebut. Mengapa perlu melalui kamera litar? Sekiranya calon duduk melihat pengiraan undi tersebut saya rasa tidak akan mendatangkan sebarang masalah, sepertimana yang dilakukan oleh SPR.

“Sudah tentu cara ini akan menimbulkan syak wasangka kerana calon-calon tidak dapat menyasikan dengan mata kepala mereka sendiri apa yang berlaku di dalam bilik pengiraan undi itu,” jelas beliau.

Selain itu, Jefree turut mempertikaikan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Peguam di mana sesiapa yang ingin menyaksikan proses pengiraan undi itu perlu menandatangani satu akujanji untuk tidak merekodkan apa-apa perkara berhubung pengiraan undi tersebut.

“Perkara ini tidak termaktub dalam Legal Profesion Act 1976, namun mengapa ia dijadikan satu syarat oleh majlis peguam?

“Apakah yang terlalu sangat dibimbangkan oleh majlis peguam sehinggakan calon tidak dibenarkan untuk melihat sendiri pengiraan undi, dan sekiranya mahu maka satu akujanji perlu ditandatangani?,” soalnya.

Sehubungan itu kata beliau lagi, majlis peguam patut merasa malu apabila mereka selama ini begitu lantang mengkritik dan mempertikai sistem pemilihan SPR di mana jelas hari ini bahawa sistem SPR itu adalah lebih telus dan lebih adil berbanding sistem pemilihan yang dilakukan oleh majlis peguam itu sendiri.

“Bagi saya, sistem dan proses pemilihan majlis peguam itu membuka ruang syak wasangka dan mereka sendiri sebenarnya tidak telus dalam hal ini. Selepas ini saya rasa majlis peguam tidak perlulah sibuk-sibuk mendesak dan mengkritik SPR kerana mereka sendiri sebenarnya tidak layak untuk mengkritik SPR,” ujarnya.-MediaUMNO