Sabtu, 2 Mei 2015

Kad telefon prabayar : SKMM vs KDRM

PETALING JAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak sependapat berhubung isu penetapan harga isian semula telefon prabayar.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan harga isian semula prabayar tetap akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), seperti yang dilaksanakan selepas 1 April.

Sebagai contoh, isian semula berharga RM10 akan djual dengan harga RM10.60 termasuk enam peratus GST.

Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, agak mustahil untuk pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dalam masa dua hari dengan kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei, seperti yang diminta.

"Masalah untuk kembali kepada kadar pra-GST adalah kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, bukan hanya di pihak pembekal perkhidmatan bahkan juga bagi ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang berjumlah kira-kira 30,000," katanya.

Halim berkata, ia juga melibatkan kos yang besar bagi pihak pembekal perkhidmatan dan ejen-ejen pihak ketiga selain stok baharu kad prabayar perlu dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara.

Kenyataan SKMM itu dikeluarkan selepas Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad dalam satu sidang media sebelum itu yang dilaporkan mengumumkan harga kad isian semua telefon prabayar kembali kepada harga asal seperti sebelum pelaksanaan GST, mulai 1 Mei