Pergerakan Wanita UMNO hari ini membidas kenyataan bekas ketuanya yang menyifatkan kemelut politik yang melanda Kedah akibat ketamakan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap jawatan Menteri Besar Kedah.
Bendaharinya, Datuk Azita mempertikai niat sebenar Tan Sri Rafidah Aziz mengeluarkan kenyataan demikian sedangkan perkara pertukaran MB khususnya di Kedah telah berlaku beberapa kali termasuk ketika UMNO dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri (bapa Datuk Seri Mukhriz) di mana ketika itu, Tan Sri Rafidah adalah Ketua Wanita UMNO ketika itu.
“Adakah ketika proses pertukaran MB Kedah sebelum ini tidak akibat ketamakan pemimpin UMNO pada jawatan nombor satu ketika itu.
“Sejarah 1996 membuktikan bahawa Tan Sri Osman Aroff dipecat semasa pentadbiran Dr Mahathir yang dibuat walaupun tidak mendapat persetujuan wakil rakyat Kedah waktu itu.
“Seramai wakil rakyat Kedah sebenarnya sudah menurunkan tandatangan mempertahankan Tan Sri Osman Arof sebagai menteri besar ketika itu, namun Tun Mahathir tetap menggantikan Osman dengan pengikut setianya, Tan Sri Sanusi Junid,” ujarnya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan.
Tambahnya, apa yang penting ketika ini ialah bukan mencari salah sesiapa selepas kemelut ini selesai sebaliknya UMNO Kedah khususnya dan UMNO umumnya harus kembali segera bersatu.
“Kekuatan UMNO selalunya dijana menerusi kesetiaan kepada parti dan ketuanya”, ujar beliau.
Dalam masa yang sama tegasnya UMNO harus segera mengenal pasti pemimpin pelapis dalam kalangan orang muda dalam UMNO Kedah untuk ‘ditarik’ ke dalam kepemimpinan beliau supaya UMNO Kedah kekal dilihat relevan dan mampu menyaingi pembangkang.
“Bagilah peluang kepada Ahmad Bashah meneruskan kepemimpinan dan tradisi membela rakyat”, katanya. –MediaUMNO