Selasa, 30 Ogos 2016

Rakyat Perak perlu bertindak terhadap NGO yang menghina Mufti

IPOH - Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) mengundang kemarahan rakyat apabila dianggap menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Kebiadaban badan bukan kerajaan (NGO) itu yang menamakan Harussani sebagai 'pemenang' Anugerah Aiyoh Wat Lah kategori 'menghina intelektual' turut mendapat kecaman keras daripada Pemuda Umno negeri.

Ketua Pemudanya, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, tindakan oleh kumpulan itu bukan saja menghina Harussani, malah menghina Islam secara keseluruhannya.

"Tindakan mereka ini jelas satu cubaan menghasut dengan menyimbah kata-kata nista yang dilihat mahu mencemarkan imej serta kedudukan agama Islam kerana mempermainkan mufti.

"Pemuda Umno Perak berdiri teguh dibelakang Harussani dan menentang sebarang cubaan menghina ataupun mempersenda beliau yang bercakap atas dasar prinsip Islam," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.

Anugerah negatif dinamakan Aiyoh Wat Lah itu itu dianjurkan oleh JAG dan GEI dan acara terbabit sudah lima kali dianjurkan sebelum ini.

Anugerah terhadap mufti kanan itu diberikan susulan kenyataannya pada April tahun lalu bahawa tiada istilah rogol dalam perkahwinan dan isteri mesti taat pada permintaan seks suami jika tidak uzur, tidak sakit atau bersalin.

Katanya, Nabi Muhammad SAW juga berkata isteri mesti patuh walaupun di atas belakang unta.

Tambah Hairul Anwar lagi, pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemimpin NGO berkenaan yang secara terangan menghina serta mencabar kesucian Islam sebagai agama persekutuan.

"Tindakan mereka jelas menunjukkan kurang kefahaman Islam malah lebih parah lagi mempersendakan apa yang telah termaktub dalam Islam, bukan itu sahaja mereka menentang Islam secara terang.

"Kami berharap pihak kerajaan segera banteras perkara ini sebelum dakyah sonsang ini semakin membarah dan ia bakal memberi kesan buruk kepada umat Islam lain di negara ini," katanya lagi.

Tamat

Kenyataan akhbar KPN Perak
30 Ogos 2016