Ahad, 25 Jun 2017

LEMBAYUNG SILATURRAHIM 1MALAYSIA ASAS KEJAYAAN RAKYAT DAN NEGARA






PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2017
OLEH
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

BERTEMAKAN: LEMBAYUNG SILATURRAHIM 1MALAYSIA ASAS KEJAYAAN RAKYAT DAN NEGARA

Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nasta’in,
Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad wa A’la Ali Saidina Muhammad,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,

1. Didahulukan, dengan menyebut kalam suci, gema takbir membesarkan keagungan Ilahi, seraya lafaz tahmid disusuli, bagi menandakan bahawa telah datangnya saat kemenangan, meraikan Aidilfitri, Hari Lebaran yang dinanti-nantikan.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.

2. Sesungguhnya, fajar Syawal itu akhirnya datang menyinsing, setelah terbenam mentari Ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan pakej kemuliaan dan sinar keberkatan, padanya diturunkan Al-Quran serta dikurniakan Lailatul Qadar, yakni malam yang lebih baik lagi afdhal keberkatannya dari seribu bulan.

3. Justeru, setelah sebulan berpuasa, tidak hanya setakat menahan lapar dan dahaga, malah kita telah bermujahadah melawan nafsu, sambil menyemai sifat keinsafan serta belas kasihan, terhadap golongan yang kurang bernasib baik lagi serba kekurangan, yang acapkali dihimpit kesusahan hidup.

4. Maka, tatkala sampai ketikanya, seperti saban tahun, umat Islam di Malaysia serta serata pelusuk dunia, menyambut Hari Kemenangan, yakni perayaan Aidilfitri yang mulia, dengan penuh rasa syukur dan suasana keriangan.

Saudara dan Saudari Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

5. Merujuk kepada mafhum firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 60, yang mengajak umat Islam supaya bersiap siaga dengan sepenuh kekuatan dalam setiap perkara dan melalui pedoman cendekiawan pula bahawa, tidak berjaya sesuatu kebenaran, jika tidak diatur dengan baik.

6. Begitulah ajaran Islam yang sentiasa menekankan tentang peri-pentingnya perencanaan dan ketertiban sama ada urusan duniawi mahupun soal ukhrawi, terutama bagi berdepan dengan realiti dunia kontemporari.

7. Mengambil ibrah dan pengajaran itu, pada perutusan Hari Raya tahun ini, saya ingin menyentuh 5 risiko dan cabaran baharu yang perlu kita hadapi:

8. Pertama: Isu geopolitik. Dalam hal ini, Malaysia sedang berdepan dengan cabaran risiko geopolitik baharu dunia yang serius antaranya membabitkan krisis di antara negara-negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit.

9. Sudah tentu, kesemua perkembangan ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan kemakmuran negara serantau dan antarabangsa.

10. Kedua: soal keselamatan dan keamanan. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, berlakunya beberapa kes letupan dan pengeboman di tempat-tempat awam oleh kumpulan-kumpulan pengganas dan ekstremisme di seluruh dunia.

11. Antaranya Manchester, London, letupan di Jakarta dan letupan bom kereta di Kabul serta pertempuran dahsyat di Marawi, Filipina.

12. Justeru itu, saya menyeru kepada semua rakyat di negara ini, agar mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman atau ideologi ektremisme dan terorisme seperti kumpulan IS serta militan Daesh, yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad dalam Islam, selain menjauhi apa jua ancaman anasir luar yang boleh menggugat keselamatan negara.

13. Kerana, Islam itu adalah agama yang damai dan sejahtera. Lantas, bagi menjunjung kesuciaannya, berpegang teguhlah dengan The Authentic Islam, yakni ajaran Islam Sejati dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

14. Di samping itu, di era siber dan meluasnya media sosial ini, umat Islam perlu bijak menyaring maklumat dan ancaman fitnah serta tohmahan palsu, disebarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan bertabayyun, yakni menyelidiki dahulu sesuatu berita secara teliti, sebelum membuat keputusan untuk mempercayainya.

15. Namun begitu, saya berasa bersyukur kerana negara ini masih terus mengecapi nikmat keamanan. Malah, berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia.

16. Sehinggakan, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sendiri pun telah berkenan dan memberi sokongan penuh kepada usaha penubuhan King Salman Centre for International Peace, di Malaysia.

17. Serentak itu, selain Malaysia dijadikan role model di kalangan negara Islam, Baginda Raja Salman, turut memuji negara ini yang mengamalkan wasatiyah, yakni kesederhanaan, yang berteraskan pula maqasid syariah, dengan begitu berjaya sekali.

18. Pada sisi lain, atas nama ukhuwah Islamiyah dan kemanusiaan sejagat, Malaysia akan terus beristiqamah dalam memperjuangkan nasib golongan tertindas di serata dunia, sambil menawarkan bantuan sewajarnya khusus kepada rakyat Palestin, etnik pelarian Rohingya dan penduduk di Syria.

19. Lantaran itu, pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita berikan penghargaan dan sanjungan kepada semua perajurit serta anggota keselamatan negara, yang telah menabur bakti dan berkorban siang serta malam, bertugas di seluruh ceruk rantau tanahair, sama ada di perbatasan mahupun ESSZONE.

20. Tatkala menyambut kemeriahan perayaan ini, saya cukup bersimpati dan bagi pihak Kerajaan ingin merakamkan takziah kepada keluarga mangsa serta dua Juruterbang TUDM iaitu Mejar Mohd Hasri Zahari dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, yang menjadi korban dalam tragedi nahas pesawat Hawk 108, terhempas di Kemaman Terengganu baru-baru ini.

Saudara dan Saudari Sekalian,

21. Ketiga pula adalah di bidang iktisad atau ekonomi. Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, Alhamdulillah, mutakhir ini, ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang di luar jangka iaitu pada 5.6 peratus untuk suku pertama tahun 2017, berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2016.

22. Malah, pada Mac 2017, buat pertama kali dalam sejarah, nilai eksport telah mencecah 80 bilion ringgit, di mana eksport meningkat sebanyak 24 peratus kepada 82.63 bilion ringgit, pencapaian tertinggi eksport secara bulanan. Pencapaian eksport ini telah turut mencatatkan double digit growth empat bulan berturut-turut sejak Disember 2016.

23. Kita bersyukur, kerana Malaysia telah diiktiraf oleh firma antarabangsa iaitu, BAV Consulting & Wharton School dari Amerika Syarikat bahawa, kita adalah negara yang terbaik untuk para pelabur bagi tahun 2017.

24. Manakala, pada beberapa minggu lepas pula, majalah Forbes meletakkan Malaysia kedudukan paling atas di kalangan semua negara Asia untuk pelaburan asing.

25. Bahkan, tahun 2017 ini juga telah diserikan lagi dengan pengumuman pelaburan oleh Saudi Aramco yang bernilai 31 bilion ringgit, dalam Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor, di mana ini merupakan, pelaburan asing tunggal terbesar yang pernah berlaku, dalam sejarah Malaysia setakat hari ini.

26. Namun demikian, kita tidak akan cepat berpuas hati dan mudah berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan itu, sebaliknya, Kerajaan akan terus membawa Malaysia menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah bagi mempastikan negara kekal berdaya saing dalam ekonomi global.

Umat Islam dan Rakyat Malaysia yang dikasihi,

27. Tidak lama selepas Syawal berlalu, tibalah musim haji. Alhamdulillah, hasil daripada perbincangan saya dengan Raja Salman sebelum ini, Baginda telah berkenan untuk meningkatkan kadar kuota rasmi Haji Malaysia daripada 27,900 orang, meningkat kepada 30,200 orang jemaah.

28. Selain itu, Baginda juga akan mempertimbangkan secara mendalam permohonan Malaysia untuk menyewa tanah, bagi tujuan pembinaan kompleks penginapan untuk kemudahan Jemaah Haji Malaysia pada masa hadapan.

29. Keempat: Mendahulukan Kepentingan Rakyat. Bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya kepada golongan B40 dan M40, Kerajaan telah berusaha gigih menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti BR1M, Projek-projek Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, pengangkutan awam dan bermacam lagi subsidi, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

30. Dalam memberi keselesaan dan connectivity yang lebih bersepadu kepada masyarakat, projek-projek Infra Rakyat seperti My Rapid Transit (MRT), Lebuhraya Pan Borneo, High Speed Rail, LRT Extension, East Coast Rail Link atau ECRL, turut sedang rancak dilaksanakan.

31. Malah, ketika di awal Ramadhan ini, Kerajaan telah membayar peringkat kedua BR1M, yang memanfaatkan 7 juta penerima pada tahun 2017.

32. Selain itu, kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam pula, saya juga telah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri bernilai 500 ringgit, dan 250 ringgit untuk pesara Kerajaan.

33. Begitu juga kepada para peneroka FELDA yang turut menerima bantuan Lebaran sebanyak 500 ringgit dan 280 ringgit dividen daripada FGV.

34. Mudah-mudahan dengan segala bantuan ini, sedikit sebanyak, dapat meringankan beban dan menambahkan keceriaan semua, untuk menyambut ketibaan Syawal.

35. Kelima: Masa depan dan TN50. Menjengah masa depan, dunia kontemporari kini berada di ambang Fourth Industrial Revolution.

36. Seiring itu, demi mewajah masa depan negara menuju TN50, saya mahu melihat akan lahirnya generasi Khayra Ummah yang Par Excellence lagi berwibawa, kukuh jatidiri individu, jatidiri bangsa dan jatidiri negara, selaras dengan gerakan Ekspresi Negaraku Malaysia.

37. Sekaligus mendoakan, agar kita sama-sama akan berjaya menjulang Malaysia yang makmur, pada kedudukan 20 negara termaju di dunia kelak. Insya-Allah.

Para Muslimin dan Muslimat serta Rakyat Malaysia yang dikasihi,

38. Bersempena hari mulia di Aidilfitri yang saadah lagi penuh kegembiraan ini, eratkan perpaduan dan perkukuhkanlah ukhuwah serta persaudaraan sesama kita, ketepikan segala perbezaan, nikmatilah keharmonian sedia ada di bawah lembayung silaturrahim 1Malaysia.

39. Semestinya, kegirangan ini terbukti, apabila The World Happiness Report 2017 telah mengiktiraf Malaysia sebagai, negara kedua memiliki penduduk paling gembira di Asia dan ke-42 daripada 155 buah negara di dunia.

40. Jadinya, di hari kebesaran ini, ziarahilah ayah dan ibu, yang mungkin sudah lama menahan rindu, menanti kepulangan anak-anak di perantauan.

41. Kunjungilah sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga, jemputlah pula rakan taulan berbilang bangsa, berkunjung ke kediaman untuk menjamu selera serta saling maaf-bermaafan sesama kita.

42. Bagi mereka yang berkenderaan dan memandu pulang ke kampung halaman masing-masing, berhati-hati di jalan raya, pandulah dengan cermat dan berhemah, semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

43. Akhir kalam, saya dengan tawadhuk dan penuh budi di hati, menyusun sepuluh jari, memohon ampun bagi pihak diri, isteri serta seisi keluarga tercinta, jika ada sebarang kesalahan, janganlah disimpan-simpan, bak kata pantun Melayu lama;

Kalau Ada Jarum Yang Patah,
Jangan Disimpan Di Dalam Peti,
Jika ada khilaf dan salah,
Bersamalah kita saling memaafi.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.