Isnin, 26 Jun 2017

Bersama Menyambut Hari Kemenangan




Salam 1Malaysia ,

Dan Salam Lebaran!

Gema takbir Syawal membawa kemenangan bermakna buat kita umat Islam, bukan sahaja di Malaysia malahan di serata dunia. Berakhirnya Ramadan al-Mubarak menandakan kejayaan kita bermujahadah melawan nafsu selama sebulan sambil menyemai sifat keinsafan serta belas kasihan terhadap mereka yang kurang bernasib baik lagi serba kekurangan.

Sejak dulu, Aidilfitri disambut meriah di negara kita, bukan sahaja oleh umat Islam malahan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa mahu pun agama. Tradisi ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan sesama kita sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup kita. Setibanya Syawal, rakyat Malaysia membuka pintu rumah dan hati masing-masing untuk merapatkan ukhuwah serta silaturrahim. Tradisi rumah terbuka ini menggambarkan jiwa dan identiti Malaysia, yakni sebuah negara yang berbilang bangsa, adat, agama dan budaya. Jelaslah, lembayung silaturrahim 1Malaysia adalah asas kejayaan rakyat dan negara.

Walaupun jadual saya sebagai Perdana Menteri amat padat, saya sangat gembira apabila saya dapat meluangkan masa bersama anda tidak kiralah ketika berbuka puasa, menunaikan solat tarawih atau santai bermoreh sepanjang bulan Ramadan. Saya gembira dapat berkongsi semangat dan inti pati Ramadan al-Mubarak yang jelas terpancar pada raut wajah-wajah anda. Semua ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa penat yang dirasai.

Dengan ketibaan Syawal tahun ini, saya menjemput anda untuk membaca Perutusan Aidilfitri 2017 saya melalui pautan ini, di mana saya menyentuh 5 risiko dan cabaran baharu yang perlu kita hadapi sebagai umat Islam dewasa ini. Pada kesempatan ini juga, saya menjemput anda bersama rakyat Malaysia yang lain untuk memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang akan berlangsung pada 25 Jun 2017 di Seri Perdana, Putrajaya, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang. Bawalah keluarga anda bersama agar kemeriahan Syawal dapat kita kongsi bersama.

Semoga Aidilfitri tahun ini dapat kita sambut bersama mereka yang tersayang dalam keadaan selamat dan sejahtera selain dapat merapatkan permuafakatan antara kita. Akhir kata, saya dan isteri serta seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada anda dan keluarga.

Negaraku, Malaysia.

Najib Razak