Tidak logik kata mereka. Pihak pembangkang hari ini berhempas pulas memainkan isu kononnya RM9.5 juta dimasukkan ke dalam akaun Tan Sri Shafee Abdullah dari akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Tuduhan itu dibuat dari luar negara. Oleh portal yang sebelum ini sudah beberapa kali kantoi menyiarkan cerita fitnah. Bekas penulis Sarawak Report, Lester Melanyi pernah mendedahkan 90% daripada artikel Sarawak Report adalah artikel yang dimanipulasi dan diubah suai.
Mengapa buat tuduhan dari luar negara? Bawalah ke mahkamah jika ada bukti kukuh. Tidak berani sebab perkara itu adalah rekaan semata mata. Sudah lebih dua tahun Anwar dihukum penjara, baru timbul pula cerita baru. Tuduhan RM9.5 juta ini adalah persepsi semata mata.
Cerita RM9.5 juta ini tidak boleh menidakkan keputusan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pada 14 Disember 2016 yang mengekalkan keputusan panel terdahulu pada 7 Mac 2014 untuk penjarakan Anwar.
Keputusan panel itu juga menurut Tan Sri Zulkefli adalah selamat kerana tidak dipengaruhi oleh pihak pihak lain termasuk Pejabat Perdana Menteri.
Logik dibayar RM1,000 sahaja? Jabatan Peguam Negara dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah membuat persetujuan bagi membayar RM1,000 kepadanya selaku Ketua Pendakwa Raya dalam kes liwat II yang membabitkan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
Perkara ini tidak didedahkan kepada umum atas dasar kerahsiaan dan ianya dijawab di parlimen setelah mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara dan Tan Sri Shafee.
Pada 11 Mac 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri telah menjawab pertanyaan Er Teck Hwa, Ahli Parlimen DAP-Bakri. Jumlah bayaran adalah RM1,000. Adakah pembayaran RM1,000 ini merupakan satu kesalahan?
Sebenarnya, ia bukanlah satu kesalahan asalkan terdapat terma-terma tugas yang ditetapkan Jabatan Peguam Negara kepada Tan Sri Shafee selaku Ketua Pendakwa Raya dan dipersetujui sebagai syarat ada pembayaran di situ.
Berita Harian 14 Oktober 2014 melaporkan Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (ketika itu) secara "fiat" (kebenaran) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Ramai yang tidak tahu bahawa ada berbagai kaedah pelantikan pegawai kerajaan dilakukan termasuklah pelantikan secara Contract of Service ( COS) dan Contract For Service ( CFS).
Berdasarkan kesesuaian Tan Sri Shafee selaku Ketua Pendakwa Raya yang dilantik oleh Peguam Negara pada ketika itu, jika sekalipun terma dirahsiakan ( atas sebab etika & kerahsiaan), ramai yang menafsir dengan penuh yakin bahawa beliau dilantik secara Contract For Service ( CFS).
Ini kerana Contract For Service atau CFS tidak mengguna pakai sebarang skim perkhidmatan, gred jawatan, kadar gaji serta sebarang peraturan sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkhidmatan Awam. Pelantikan CFS dipohon kepada Kementerian Kewangan bagi menetapkan syarat-syarat perkhidmatan yang tertentu. Dengan kata mudahnya, ia lebih terbuka.
Ini bermakna terma pelantikan, tugasan, gaji dan segala kelayakan oleh Muhammad Shafee selaku Ketua Pendakwa Raya itu telah ditentukan. Hanya Jabatan Peguam Negara dan Tan Sri Shafee saja yang tahu. Apapun cara pelantikan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara kepada Muhammad Shafee, ia tetap menjelaskan Ketua Pendakwa Raya yang dilantik merupakan seorang pegawai kerajaan pada ketika itu.
Justeru, jelaslah kepada kita bahawa dakwaan dangkal oleh Sarawak Report mengenai jumlah bayaran khidmat guaman RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee adalah palsu sama sekali.
Dakwaan Sarawak Report itu ternyata fitnah dan tidak benar bila mengaitkan kononnya pembayaran tersebut diambil dari wang 1MDB. Apatah lagi dari akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah pun ditutup 30 Ogos 2013.
Sarawak Report mendakwa kononnya pembayaran kepada Tan Sri Shafee dari akaun Datuk Seri Najib ini dibuat dua kali, iaitu pada tarikh 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.
Hendak bayar bagaimana jika akaun itu telah ditutup pada 30 Ogos 2013? Sebab itu cerita karut ini direka dari luar negara oleh portal yang dibiayai oleh Open Society Institute, tajaan George Soros.
Logik Tan Sri Shafee dibayar RM1,000 atas kapasitinya sebagai Ketua Pendakwa Raya yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara.
Pendakwa tidak dibayar kerana dalam kes jenayah pendakwa adalah mewakili kerajaan. Mereka adalah pegawai kerajaan bergaji atau peguam yang dilantik khas oleh kerajaan.
Kalau kes sivil kedua dua pihak ada peguam tetapi tidak dipanggil pendakwa atau peguam tertuduh. Ianya dipanggil peguam planitif dan defendan.
Kes liwat Anwar ini adalah kes jenayah.
Sarawak Report tidak usahlah buat cerita karut semata mata hendak bebaskan Anwar. Patutlah pakai Sarawak Report sebab Rafizi sudah kantoi banyak kali menipu.
Rakyat Malaysia bukan mudah lupa. Mereka tahu sejarah fitnah Sarawak Report. Sudah sudahlah buat cerita fitnah di bulan Ramadhan ini.
Tulisan :
Beruang Biru
BB456, Selasa
6 Jun 2017